Itulah perkara yang terdetik dalam hati apabila pertama kali menjejakkan kaki di Hutan Bandar Putra, Kulai dekat sini.

Taman awam yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai itu mempunyai keunikan tersendiri menjadikannya lokasi yang menarik untuk dikunjungi seisi keluarga.

Sekali imbas, taman ber­kenaan tiada bezanya dengan taman awam lain, namun setelah beberapa minit berada di sana, tarikan utama adalah pemanda­ngan pelbagai jenis kapal terbang melintas di udara.

Lokasi yang berdekatan de­ngan lapangan terbang itu memberi keistimewaan tersendiri apabila pengunjung berpeluang melihat kapal terbang dalam jarak agak rendah berbanding hanya melihatnya tinggi di udara.

Pastinya suasana itu merupakan satu pemandangan yang menarik bukan sahaja bagi pengunjung dewasa, malah lebih-lebih lagi golongan kanak-kanak.

Mungkin sebelum ini tidak berpeluang melihat kapal terbang ‘beraksi’ dalam jarak yang dekat, tetapi dengan mengunjungi Hutan Bandar Putra, mereka berpeluang merasai pengalaman berke­naan.

Selain itu, turut menarik minat si kecil adalah taman permainan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan tersebut termasuk lebih 10 gelungsur pelbagai saiz yang pasti dapat memuaskan hati mereka.

Bagi pengunjung yang meminati aktiviti santai seperti joging, berbasikal dan bersenam juga tidak perlu bimbang kerana taman ini menyediakan laluan yang panjang meliputi ke­seluruhan kawasan tersebut.

Pelbagai kemuda­han awam seperti tan­das, tong sampah, tempat duduk dan tempat rehat juga disediakan di banyak lokasi utama.

Seorang pengunjung, Mohd. Aidil Herrow, 38, mengakui se­ring membawa keluarganya ke taman tersebut kerana keunikan yang terdapat di sana berbanding taman awam lain.

“Hutan Bandar Putra, Kulai ini benar-benar sebuah taman yang sesuai untuk seisi keluarga, khususnya mereka yang mempunyai anak kecil.

“Ini kerana terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama bagi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan ge­nerasi muda,” katanya yang gemar mengunjungi taman ber­kenaan pada cuti hujung minggu kerana terdapat banyak gerai jualan beroperasi.

Seorang lagi pengunjung Norazila Tukiran, 32, gemar berkunjung ke taman awam tersebut sama ada seorang diri mahupun bersama-sama rakan dan ke­luarga.

“Taman ini luas dan terbuka, selain mempunyai pengawal kese­lamatan yang sentiasa bertugas dan meronda sekitar kawasan menggunakan motosikal.

“Langkah keselamatan yang diambil pihak berkuasa tempatan menyebabkan saya tidak bimbang untuk beriadah di sini walaupun seorang diri,” katanya yang merupakan pekerja swasta.