Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, HSR adalah sebuah projek prasarana yang dicadangkan demi membongkar potensi sebenar daerah selatan negara ini.

"Projek ini bukan projek politik dan tidak harus dipolitikkan.   

"Projek ini adalah satu keperluan dan keperluan seperti ini tidak sewajarnya dijadikan korban politik," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Ekoran keputusan tersebut yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini, kini kerajaan dilaporkan terpaksa membayar penalti kepada kerajaan Singapura sebanyak RM500 juta.

"Ini sudah pastilah satu pembaziran memandangkan kita membayar RM500 juta dengan tidak memperoleh apa-apa. Merundingkan pampasan bukanlah perkara yang mudah apabila keputusan ini dibuat secara ‘unilateral’.  

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, pembatalan projek berkenaan juga nampaknya dilakukan tanpa rundingan dan makluman kepada kerajaan negeri Johor dan Singapura.

Justeru, beliau meminta supaya kerajaan menjelaskan kepada rakyat, khususnya di negeri rasional keputusan membatalkan projek mega tersebut. - UTUSAN ONLINE