Hospital Pakar KPJ Johor berkenaan yang mempunyai pasukan tindakan kecemasan (ERT) terlatih akan menyumbangkan alat pemadam api dan memberikan latihan keselamatan kebakaran kepada tenaga pengajar serta pelajar berkenaan.


Sebagai permulaan hospital pakar berkenaan menyampaikan 15 alat pemadam api dan memberikan taklimat dan demonstrasi kepada 111 pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid di Kampung Sinaran Baru di sini sebentar tadi.


Ketua Pegawai Eksekutif hospital itu, Zabidi Abdul Razak berkata, sumbangan itu adalah susulan daripada tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 pelajar dan guru pada Khamis lalu. 


“Usaha ini akan diperluaskan ke daerah lain dan ia tergantung kepada kemampuan kita untuk mendapatkan alat pemadam ini dalam masa singkat untuk disumbangkan kepada pusat tahfiz yang dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan itu. - UTUSAN ONLINE