Zabidi Abdul Razak (dua dari kiri) menyampaikan alat pemadam api kepada Mohd. Muslim Salleh (kanan) dalam Program Unit Keselamatan Kebakaran Hospital Pakar KPJ Johor di Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid, Johor Bahru, semalam. utusan/Baazlan Ibrahim

Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid di Kampung Sinaran Baru di sini menjadi pusat tahfiz pertama menerima kunjungan Hospital Pakar KPJ Johor yang membantu memeriksa aspek ke­selamatan di premis terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif hospital itu, Zabidi Abdul Razak berkata, pihaknya memandang serius terhadap tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 pelajar dan guru pada Khamis lalu.

Katanya, selain memberikan taklimat dan demonstrasi kepada 111 pelajar pusat tahfiz, Hospital Pakar KPJ Johor menyampaikan 15 alat pemadam api untuk kegunaan madrasah itu.

“Unit keselamatan kebakaran Hospital Pakar KPJ Johor mempunyai pasukan tindakan kecemasan (ERT) yang terlatih bagi membantu memeriksa beberapa sekolah tahfiz di daerah ini dan mengenal pasti risiko bahaya di kawasan mereka.

“Usaha ini akan diperluaskan ke daerah lain dan ia tergantung kepada kemampuan kita untuk mendapatkan alat pemadam ini dalam masa singkat untuk disumbangkan kepada pusat tahfiz yang dikenal pasti,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, pengetua mad­rasah, Mohd. Muslim Salleh berkata, pihaknya berterima kasih kepada Hospital Pakar KPJ yang memberi tunjuk ajar kepada pelajar pusat tahfiz berkenaan tentang soal keselamatan serta perkara yang perlu dilakukan ketika berlaku kebakaran.

“Di madrasah ini sendiri mempunyai alat pemadam api, cuma dari segi penyelenggaraannya agak kurang sistematik. Sumbangan yang diberikan ini amat besar maknanya buat kami.

“Saya berharap kerajaan dan masyarakat menyokong kami agar madrasah tahfiz di seluruh negara akan terus maju seiring dengan hasrat kerajaan dan ibu bapa yang mahu melahirkan pelapis gabungan ulama dan profesional,” katanya.