Hasrat memiliki rumah yang selesa bersama-sama isteri serta tiga anak akhirnya tercapai melalui usaha dilakukan Pertubuhan Ihsan Johor (PIJ) yang membantu golongan memerlukan.

Sejak lima tahun lalu dia dan isteri, Masrina Omar, 47, me­numpang di rumah ibunya kerana tidak lagi mampu untuk membayar rumah sewa setelah tidak mempunyai sumber pendapatan.

“Saya kurang sihat, hanya kadang-kadang melakukan pe­kerjaan nelayan atau berkerja kampung, ada masanya berbulan-bulan saya tidak berkerja,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan kunci oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Suhaimi Salleh.

Yang turut hadir Ketua Kampung Sungai Chengkih, Samir Mahadi.

Zaharudin berkata, dua anak­nya berusia tujuh dan 14 tahun memerlukan bilik serta ruang yang lebih luas bagi mereka untuk belajar termasuk melakukan aktiviti lain.

“Tidak sangka saya sekeluarga, rumah baharu ini mempunyai tiga bilik dan satu bilik air dapat disiapkan dalam tempoh tiga hari sahaja dibina 30 tenaga sukarelawan,” katanya.

Katanya, rumah yang dibina atas tanah milik keluarganya itu amat diperlukan kerana anak-anaknya semakin membesar selain keinginan untuk memiliki rumah sendiri sepertimana pasangan suami isteri lain.

Sementara itu, Suhami berkata, rumah tersebut dibina dengan kos RM48,000 mampu dilaksanakan mengikut masa ditetapkan sepertimana projek-projek sebelum ini di seluruh negeri.

Menurutnya, pengelibatan tenaga sukarelawan daripada Ihsan Johor Rangers, Kolej Sayong Didik serta pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Johor Bahru berjaya menyiapkan rumah tersebut dalam tempoh singkat tidak sampai seminggu.

Jelasnya, mereka mempunyai pelbagai kemahiran seperti pertukangan, asas pendawaian elektrik dan kerja-kerja perpaipan dan tiada pihak luar terlibat dalam kerja-kerja pembinaan itu.

“Pembinaan Rumah Ihsan Johor bertujuan menjadikan kerja-kerja sukarelawan sebagai satu budaya bagi golongan muda sejajar Gagasan Johor Berkemajuan bagi memastikan golongan yang kurang bernasib baik dapat dibantu,” jelasnya.