Demikian antara bait sajak po­pular bertajuk Guru o Guru yang dinukil dan dideklamasikan sasterawan negara, Allahyarham Usman Awang pada tahun 1979.

Sajak berkenaan mempamerkan sisi roman dan apresiasi tinggi terhadap golongan pendidik. Para guru diekspresikan sebagai tonggak kepada kejayaan seseorang walau siapapun mereka.

Sememangnya tidak dapat dina­fikan. Semua pihak sudah pas­tinya tidak akan pernah mampu berterima kasih dan membalas segala jasa serta pengorbanan mulia guru-guru mereka.

Bagi mengenang jasa mereka, Kementerian Pendidikan de­ngan kerjasama Kumpulan Utusan menganjurkan Festival Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 yang berlangsung di Padang A, Angsana Johor Bahru Mall, di sini baru-baru ini.

Festival selama enam hari itu yang bermula 12 Mei lalu dihadiri lebih 7,000 pengunjung yang bukan sahaja dikunjungi warga pendidik dan pelajar tetapi juga orang ramai.

Pada hari pertama, pertan­dingan memasak dan pelancaran kempen ulam-ulaman mencuri tumpuan. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut mempromosikan dan sedang mengumpul 1,001 jenis ulam-ulaman tempatan untuk diperkenalkan.

Turut dimeriahkan dengan pro­gram Khatam al-Quran Perdana peringkat kebangsaan sebelum diselitkan dengan Pencarian Gadis Panca manakala pada sebe­lah malamnya diadakan ceramah agama oleh Datuk Ustaz Mohd. Kazim Elias.

Menarik perhatian dalam Cera­mah Perdana berjudul, Guru Oh Guru itu, Mohd. Kazim mengi­ngatkan bahawa kehidupan seseorang itu akan terus ditimpa pelba­gai kesusahan sehingga ak­hir hayat jika gagal memperoleh keberkatan ilmu daripada guru.

Pengorbanan dan jasa guru katanya, perlu sentiasa dihormati walaupun mereka telah bersara malah menggunakan panggilan yang sesuai terhadap guru anak masing-masing.

Pada hari kedua diadakan La­rian Muafakat Johor di Dataran Bandaraya Johor Bahru disertai kira-kira 5,500 peserta melibatkan guru, pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) disempurnakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Kemudian diikuti Pertandingan Nasyid dan Majlis Penyampaian Hadiah di Padang A, Angsana Mall Johor Bahru sebelum Program Menteri Pendidikan Bersama Warga Pendidik dan Komunuti-Yok Ngeteh di Maktab Sultan Abu Bakar mengambil alih.

Perasmian festival pada hari itu dilakukan oleh Mahdzir di pentas utama Angsana Mall Johor Bahru. Pada sebelah petang dan malam diadakan Pencarian Gadis Panca dan Konsert Pancaindera juga di pentas utama dengan persembahan artis tempatan.

Keesokannya diadakan Majlis Pelancaran Modul 10 Minit Perhimpunan Pagi peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Perempuan Sultan Ibrahim dan Majlis Pelancaran Utusan Pelajar Peringkat Kebangsaan 2017 serta Pembe­lajaran Abad Ke-21 (PAK 21).

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan yang me­lancarkan program itu berkata, seluruh warga pendidik perlu bersiap siaga dengan kemahiran terkini dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdP) abad ke-21 yang berfokuskan kepada murid dan bukannya berpusatkan guru.

Perkongsian Amalan Terbaik Ke­menterian Pendidikan dan Show­case Kejayaan Pendidikan Jabatan Pelajaran negeri menutup tirai untuk aktiviti pada hari tersebut.

Pada hari kelima, tiga aktiviti iaitu PAK 21 Bersama 500 Guru; Forum Kepimpinan Guru; Taklimat Online serta memorandum persefahaman (MoU) Utusan Karya di Padang A manakala program Malam Muafakat Guru berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Hari terakhir festival tersebut, perasmiannya berlangsung di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa sepanjang tempoh fes­tival berlangsung, pelbagai aktivi­ti pendidikan dianjurkan antaranya pameran pendidikan, studio penghias wajah, Klinik Jawi, demonstrasi produk oleh pem­pamer dan jualan buku serta majalah.

Di samping itu, gerai-gerai industri kecil dan sederhana (IKS) yang dibawa khas oleh FAMA mengambil bahagian selain pempamer daripada sektor korporat, agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan dan masyarakat setempat.

Festival tersebut mendapat tajaan daripada YTL Corporation, selaku penaja utama manakala Adabi, FAMA, Proton, A&W, Ju­lie's, MAMEE dan LeapEd selaku penaja bersama.

Antara matlamat utama pe­nganjuran itu adalah sebagai peng­hargaan kepada semua warga pendidik di setiap peringkat. TERIMA KASIH CIKGU!