Sambil menyifatkan Pakatan Harapan mempunyai pemikiran yang tidak betul, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa bukan mudah untuk mengurus dan mentadbir sesebuah universiti kerana memerlukan kos yang tinggi.

“Kita di Johor ini juga sudah ada banyak universiti. Malah, penuntut dari Johor merupakan (jumlah) yang paling besar di universiti-universiti di negara ini.

“Saya pernah menjadi Menteri Pengajian Tinggi dahulu dan tahu bukan mudah untuk mengurus dan mentadbir sesebuah universiti kerana kosnya amat tinggi. Misalnya, Universiti Teknologi Ma­laysia (UTM) memerlukan RM1 bilion, manakala Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) lebih RM700 juta,” katanya mem­bidas kenyataan Pengerusi PAN Johor, Aminol­huda Hassan bahawa Pakatan Harapan akan cuba merealisasikan penubuhan sebuah universiti khas Johor jika berjaya merampas negeri ini daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Sekolah Kebangsaan Permas Jaya 5 (SKPJ5), di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif; Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Jasni Omar; Guru Besar SKPJ5, Mohaini Arifin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Ai­riruddin Mohamed Said.

Menteri Besar menegaskan, daripada menggunakan wang yang banyak untuk menubuhkan sebuah universiti, lebih baik kerajaan negeri menggunakannya untuk memberikan pinjaman tanpa faedah kepada penuntut Johor yang melanjutkan pengajian di universiti menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa melakukan intervensi dalam bidang pendidikan bagi menambah baik dan meningkatkan pencapaian pelajar negeri ini, khususnya membantu golongan kurang berkemampuan.

“Antaranya, kita perkenalkan pembelajaran dalam talian atau 'e-learning' supaya anak-anak kita dalam belajar sepanjang masa. Mereka hanya perlu membayar RM1 sebulan sahaja,” katanya.

Pada majlis tersebut, Moha­med Khaled turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM40,000 kepada SKPJ5.