Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday berkata, antara aspek yang diambil kira dalam kajian itu adalah dengan menetapkan harga kediaman mengikut keluasan rumah yang dijual pemaju.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan tidak akan ada isu pemaju yang sewenang-wenangnya memberi tumpuan bagi pembinaan rumah untuk dijual kepada warga asing sahaja hingga mengabaikan projek rumah kos murah serta sederhana.

“Rumah yang tidak terjual ini kebanyakkan adalah rumah yang dibina bagi pasaran dijual kepada warga asing yang sebelum ini kerajaan menetapkan dasar tidak kurang RM1 juta nilai jualannya.

“Ini menjadi masalah kepada kita (kerajaan negeri) kerana dahulu kita ‘pukul rata’ semua kediaman untuk warga asing dijual RM1 juta ke atas.

“Mungkin selepas ini kita (kerajaan negeri) akan nilai pada keluasan kediaman contohnya 92.9 meter persegi dijual dengan nilai RM1 juta tetapi jika kecil dari­pada itu kita akan nilai mengikut kesesuaian untuk ditetapkan harga jualannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Hari Landskap Johor 2017 di Sireh [email protected] Puteri di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Md. Jais berkata, kerajaa nege­ri juga akan memperkenalkan insentif serta galakan kepada pemaju untuk membina lebih banyak kediaman berharga antara RM200,000 hingga RM350,000.

“Antara yang saya tekankan adalah kumpulan M40 (berpendapatan 40 peratus sederhana) yang ramai terperangkap dalam isu pembelian hartanah.

“Mereka ini tidak layak membeli kediaman RN150,000 ke bawah, bagaimanapun harga rumah selepas itu jauh lebih tinggi iaitu melebihi RN400,000, jadi kita sedang cari jalan nak beri insentif atau galakan kepada pemaju bina kediaman antara RM200,000 ke RM350,000,” katanya.