Md. Kasim Md. Noah, 60, berkata, tugas sebagai pendidik memerlukan pengorbanan dan disiplin tinggi kerana mereka merupakan individu yang membentuk dan melahirkan insan sempurna.

“Jika pelajar itu boleh dium­pamakan sebatang pohon, maka gurulah yang bertanggungjawab untuk menjaganya seperti me­nyiram dan membaja sehingga tumbuh menjadi pokok rendang yang mampu berbuah lebat.

“Namun, jika kita sebagai guru tidak ikhlas dalam menjalankan tugas, tidak mungkin pohon itu mampu hidup subur dan berbuah lebat,” katanya selepas menerima a­nu­gerah berkenaan sempena sambutan Ha­ri Guru peringkat daerah di Dewan Majlis Daerah Labis, baru-baru ini

Menurut bapa kepada lima orang anak yang kesemuanya berjaya ke menara gading ini, hari yang paling indah baginya sepanjang bergelar pendidik adalah hadir ke sekolah yang disifatkannya bukan sahaja untuk mengajar, sebaliknya turut belajar tentang kehidupan.

Md. Kasim yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam, Segamat pada tahun 1969 kemudian me­nyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Anam dan selepas itu di SMK Datuk Bentara Dalam sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya mula mengajar pada tahun 1980 di SMK Tun Mamat, Tangkak dan kemudian ditugaskan di Pejabat Pelajaran Daerah Muar pada 1990 sebelum ditukarkan ke Pejabat Pendidikan negeri pada 1994.

“Saya mengambil keputusan untuk bersara awal tiga tahun lalu dan jawatan terakhir sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Asrama Penuh dan Sekolah Cemerlang di Putrajaya,” katanya.

Beliau mengakui guru-guru ketika ini berdepan cabaran lebih hebat dan perlu bergerak pantas selari dengan kepantasan dunia teknologi berbanding zaman beliau dahulu.

“Saya nasihatkan guru-guru supaya sentiasa ikhlas dalam menjalankan tugas dan jangan sesekali mengamalkan sikap pilih kasih atau kedekut ilmu.

“Selain itu, kita hadir ke sekolah bukan sekadar untuk me­nyampaikan ilmu kepada pelajar, sebaliknya kita boleh belajar daripada mereka dan warga sekolah lain tentang kehidupan,” katanya.