Antara program yang dianjurkan ialah Majlis Anugerah Cemerlang Kokurikulum, perkhemahan unit beruniform, sambutan Hari Kanak-kanak dan Hari Keusahawanan serta perasmian Studio Sukan.

Guru besar sekolah berkenaan, Noriza Taib berkata, program tersebut turut mendapat kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Milo.

“Seramai 63 murid dan guru menerima Anugerah Cemerlang Kokurikulum. Mereka merupakan nadi bagi kecemerlangan kokurikulum sekolah dalam menjadikan murid sebagai modal insan cemerlang dalam semua bidang.

“Pemenang bukan sahaja diberikan hadiah, malah wajah dan kejayaan mereka dipaparkan di Studio Sukan sekolah agar menjadi rujukan dan motivasi kepada murid serta guru yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Noriza berkata, penganjuran program tersebut juga membolehkan murid belajar bagaimana menjadi seorang usahawan, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan keyakinan diri semasa berdepan dengan masyarakat.

Sementara itu, pengerusi program tersebut, Fazli Mohamed berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua bulan untuk merancang dan menjayakan program tersebut.

“Penganjuran program ini secara tidak langsung memberi peluang kepada murid menimba pengalaman baharu. Nyata mereka berasa teruja menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan,” katanya.