Senator Orang Asli, Datuk Isa Abd. Hamid berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan etnik berkenaan malah mereka diberi perhatian dalam semua perkara termasuk pembangunan dan pendidikan.

“Sebagai contoh, dahulu jika kita lihat ramai golongan belia Orang Asli yang terjebak dalam ke­tagihan alkohol dan keciciran dalam pelajaran serta pengangguran.

“Namun, kini situasi sudah jauh berbeza dengan pembangunan dan kehidupan Orang Asli semakin berkualiti ekoran pembinaan kemudahan awam seperti jalan raya, sekolah, air paip, lampu jalan serta bantuan perumahan sebagai bukti kerajaan mengambil berat hal ehwal mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kem Dakwah Bil Hal Murid Orang Asli peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kudong di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan negeri, Che Selamah Che Nik dan Guru Besar SK Kampung Kudong, Datuk Rusdin Mahamud.

Pada masa sama, beliau me­minta anak-anak Orang Asli yang kini telah menjadi guru supaya dapat pulang menabur bakti di kawasan masing-masing kerana jiwa mereka lebih dekat dengan kaum berkenaan.

“Ada guru-guru Orang Asli yang menolak untuk mengajar di kawasan Orang Asli dan sebagai contoh di SK Kudong ini sepatutnya sudah ada guru daripada anak Orang Asli,” katanya.