Seri Noraini Yaakub, 46, pada mulanya menganggap kata-kata suaminya itu hanya bergurau kerana hasrat tersebut memerlukan modal yang besar.

“Memandangkan kami mempunyai minat yang sama melakukan aktiviti lasak, saya mengambil keputusan bukan sahaja menyokong malah sama-sama membantu usaha suami saya.

“Beberapa bulan pertama membanggunkan taman ini, sa­ya bersama-sama menyingsing lengan dan berpanas bersama-sama suami, anak-anak dan beberapa pekerja yang diupah untuk membuat landskap kawasan ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dia kini bukan sahaja boleh menarik nafas lega malah bersyukur apabila usaha dan penat lelahnya bersama-sama suami yang dianggap mustahil sebelum ini sudah mula membuahkan hasil.

Rakan Mohd. Shahsukorree iaitu Mazlan Ibrahim, 43, kagum dengan kecekalan pemilik taman itu dan dia kerap beriadah bersama-sama keluarga di taman tersebut setiap kali berkesempatan.

Dia mengakui taman itu sesuai untuk mengeratkan hubungan keluarga melalui aktiviti lasak selain mendedahkan anak-anak kepada aktiviti memanah yang merupakan sunah Rasulullah SWT.

Ewani Ali, 29, berkata, usaha Mohd. Shahsukorree itu bukan sahaja memberi peluang penduduk setempat beriadah tetapi memberi peluang kerja kepada golongan muda di kawasan tersebut.

“Dengan adanya taman ini sekurang-kurangnya penduduk dapat peluang pekerjaan dan dapat menjana pendapatan dengan cara menjalankan perniagaan makanan serta minuman.

“Manfaat daripada usaha mewujudkan taman ini tidak terhad kepada ekonomi sahaja malah mampu memperkenalkan kawasan ini sebagai lokasi pelancongan kepada orang luar,” katanya.