Tinjauan Utusan Malaysia di kelas Enam Maragatham mendapati, mereka khusyuk membelek sisipan akhbar pendidikan berkenaan yang ditaja oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah).

SJKT Kangkar Pulai merupakan antara 11 buah sekolah di negeri ini yang menerima tajaan Tutor daripada Khazanah, sekolah mempunyai seramai 743 murid dan daripada jumlah itu, seramai 113 murid akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Guru Besarnya, R. Kalianand berkata, dengan penggunaan Tutor diharap dapat membantu murid sekolah itu terutama yang mengambil UPSR untuk menghadapi peperiksaan tersebut selain mempertingkatkan penguasaan Bahasa Malaysia mereka.

“Kandungan Tutor juga amat menarik selain mengandungi soalan yang mencabar untuk murid sekolah ini menguji diri masing-masing, malah mereka juga saya lihat suka menggunakan sisipan itu belajar,” katanya selepas menerima sumbangan Tutor daripada Khazanah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd. Wilayah Selatan, Mohd. Asri Jantan; Eksekutif Pemasaran Cawangan Johor Bahru, Romli Awang dan wakil Khazanah, Hairuddin Mohd. Noh. - UTUSAN ONLINE