Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­congan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, kerajaan mela­lui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) telah menawarkan beberapa program serta inisiatif semata-mata bagi membantu pengusaha yang ingin membangunkan atau meningkatkan mutu dan daya saing produk pelancongan mereka.

Namun katanya, masih terdapat ramai pengusaha yang belum tahu atau sedar dengan kemudahan bantuan yang disediakan kerajaan.

“Ramai yang masih tidak sedar bahawa MOTAC telah menawarkan beberapa program serta inisiatif antaranya Tabung Pelancongan yang terbahagi kepada dua jenis iaitu Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan (TPIP) serta Tabung Khas Pelancongan (TKP) selain pengecualian cukai pendapatan, pendaftaran projek pelancongan, Malaysia Tourism Quality Assurance (MYTQA) dan potongan cukai bagi program kebudayaan.

“TPIP yang diuruskan Bank Pembangunan Malaysia Berhad menawarkan jumlah pinjaman dari RM5 juta sehingga RM100 juta dengan kadar faedah yang rendah dan kompetitif manakala TKP yang diuruskan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) pula dikhususkan kepada pengusaha pelancongan bertaraf kecil dan sederhana dengan jumlah pinjaman yang ditawarkan antara RM250,000 hingga RM30 juta bersesuaian dengan industri berkaitan.

“Ini semua merupakan antara platform untuk membantu membuka banyak peluang perniagaan baharu kepada para pengusaha yang berminat menceburi sektor pelancongan yang sememangnya sangat pesat membangun di negeri Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Engagement Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Johor Mengenai Tabung Pelanco­ngan Dan MYTQA di sini hari ini.