Itu yang bermain dalam benak fikiran Zaharah Abas, 49, apabila mula menceburkan diri dalam bidang gubahan hantaran, hamper dan bunga coklat.

Lebih mesra disapa sebagai Kak Zai, wanita gigih ini mengakui idea untuk berjinak-jinak dalam perniagaan berkenaan timbul apabila hadir pada majlis konvo­kesyen anak ketiganya di Perlis lima tahun lalu.

Jelas ibu kepada empat orang anak tersebut, dia terkejut apabila melihat pelbagai gubahan jamba­ngan bunga dan coklat dijual de­ngan harga mahal pada majlis berkenaan.

Sejak itu, Zaharah bertekad untuk menghasilkan gubahan pada harga lebih murah.

“Saya memang terkejut apabila melihat harga setiap jambangan bunga dan coklat yang dijual pada ketika itu. Bagi saya, harga yang dijual terlalu mahal, tidak setan­ding dengan kos sebenar. Malah, cara gubahannya juga kelihatan ala kadar sahaja.

“Memandangkan saya amat meminati bidang gubahan, saya ambil keputusan untuk menggubah sendiri jambangan bunga dan coklat untuk dihadiahkan kepada anak pada majlis tersebut dan gubahan itu turut disukai oleh rakan-rakan anak saya.

“Sejak itu, saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan ini kerana pembeli berhak untuk mendapat hasil yang sesuai dengan harga yang ditawarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pada masa sama, Zaharah juga sering kali membuat gubahan hantaran membabitkan ahli keluarga yang ingin mendirikan rumah tangga sehingga timbul idea untuk menyediakan perkhidmatan gubahan hantaran secara sewa.

Selepas menjalankan perniagaan tersebut selama beberapa tahun, Zaharah akhirnya membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai yang diberi nama Nadieya Nasir Collection yang terletak di Blok C, Pangsapuri Tasek, Bandar Seri Alam, di sini pada awal tahun lalu.

Meskipun pada awalnya ber­depan dengan pelbagai cabaran, namun selepas lebih setahun, dia kini mampu berbangga apabila kedainya sentiasa dikunjungi pe­langgan terutamanya apabila tiba musim perayaan tertentu.

Zaharah kemudian nekad untuk berhenti kerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap perniagaannya itu.

“Saya bersyukur kerana keputusan untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan penuh terhadap perniagaan ini berbaloi. Kini saya rasa lebih tenang kerana melakukan perkara yang diminati selain pendapatan yang lumayan,” katanya sambil memberitahu, dia menerima tempahan pelbagai jenis hamper, jambangan bunga dan coklat mahupun hantaran mengikut bajet dan tema yang dikehendaki pelanggan.

Dalam masa sama, dia sentiasa mengambil kira pandangan dan kehendak pelanggan kerana berpegang kepada prinsip bahawa kepuasan pe­langgan merupakan keutamaan baginya.

“Saya ada menyediakan gubahan bunga coklat serendah RM5 dan kebiasaannya dibeli oleh pelajar terutamanya menjelang Hari Guru dan Hari Ibu.

“Saya faham, pelajar tidak mampu membeli jambangan bunga atau coklat yang mahal, tetapi mereka tetap mempunyai keinginan untuk menghadiahkan sesuatu untuk guru dan ibu bapa mereka.

“Ada juga pelanggan yang ingin membuat kejutan bagi orang tersayang dan kami turut menyediakan perkhidmatan penghantaran buat mereka. Adalah menjadi ke­puasan bagi saya apabila dapat melihat wajah ceria pembeli atau penerima hadiah,” katanya.

Zaharah memberitahu, sekalipun mempunyai ramai pelanggan, pada masa ini, dia lebih selesa be­kerja sendiri demi menjaga kualiti setiap gubahan.

Semua tempahan dan hasil gubahan hamper yang dilakukannya juga boleh dilihat menerusi laman sosial Facebook Kedai Gubahan (Nadieya Nasir Collection).