Dana tersebut disumbangkan melalui penyertaan syarikat-sya­rikat kumpulan Johor Corporation (JCorp), syarikat korporat tem­patan, agensi kerajaan serta individu.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, seramai 100 peserta terlibat dalam kejohanan tersebut yang pertama kali dianjurkan pihaknya.

“Kejohanan ini bertujuan me­ngumpul dana wakaf bagi menaik taraf kemudahan untuk keselesaan di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru,” katanya ketika ditemui.

Kerja-kerja menaik taraf fasa pertama terminal pengangkutan awam itu yang dilakukan pihak JCorp dengan kos RM15.7 juta dijadualkan siap sepenuhnya Mac ini.

Kerja-kerja menaik taraf terminal itu bermula Mac 2016 membabitkan dua fasa dan djangka siap sepenuhnya pada 2019 dengan nilai pembangunan keseluruhan RM85 juta.

Kamaruzzaman berkata, terminal tersebut menjadi tumpuan lebih sembilan juta pengguna setahun yang menggunakan pe­ngangkutan awam dan membeli-belah setiap hari.

Katanya, selaras agenda kerajaan Pusat dan negeri untuk memartabatkan pengangkutan awam darat, JCorp komited untuk mentransformasi terminal tersebut sebagai hab pengangkutan moden dan selesa untuk pengguna.

“Untuk itu Waqaf Saham Larkin Sentral yang dilancarkan pada 18 Jun 2017 menjadi instrumen terpenting dalam menjayakan komitmen menaik taraf dan membaik pulih terminal tersebut de­ngan matlamat mengumpul dana pewaqafan berjumlah RM85 juta,” katanya.

Setakat ini ujarnya, sebanyak RM3.2 juta berjaya dikumpulkan melalui 5,767 pewakaf yang terdiri daripada orang awam, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, ter­minal tersebut masih memerlukan sumbangan semua lapisan masyarakat bagi mencapai matlamat membe­ri keselesaan ke­pada 27,000 pengunjungnya setiap hari.

Waqaf Saham Larkin Sentral boleh dilanggan melalui Maybank2U dengan pewakaf perlu Log Masuk ke akaun dan seterusnya membuat pilihan Pelaburan dan dituruti dengan Wakaf.

Pewakaf dinasihatkan membaca prospektus Waqaf Saham Larkin Sentral yang boleh didapati di Cawangan Maybank terpilih atau boleh layari www.waqafsahamlarkin.com.