Diberi nama Kompleks Sultan Abu Bakar itu menempatkan pejabat YWJ yang mempunyai tiga segmen utama iaitu Bengkel Tenun Johor, Mini Galeri Seni dan Galeri Khaled Nordin.

Bengkel Tenun Johor yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 31 Julai tahun lalu mempamerkan teknik-teknik tenunan termasuk proses mencelup dan mewarnakan benang, menganing, menerai, menyampak dan cara-cara membuat songket.

Menerusi bengkel dan demonstrasi tersebut, para pengunjung turut diberi penerangan mengenai asal-usul tenunan Johor yang dikenali sebagai Tenun Corak Muar kerana dikatakan berasal dari daerah berkenaan.

Berdasarkan kajian yang dija­lankan pihak YWJ, terdapat dua dapatan iaitu tenunan corak Muar dipercayai diilihamkan oleh orang Muar dan ditenun di Terengganu serta dihasilkan oleh penduduk berasal dari Terengganu yang menetap di Muar.

Berbanding tenunan dari ne­geri lain, tenunan corak Muar banyak menampilkan corak beragi atau berkotak yang amat popular pada abad ke-18 dan 19.

Lebih menarik, corak tersebut amat sesuai dipadankan dengan pemakai­an baju kurung Te­luk Belanga dan dijadikan kain sarung untuk golongan wanita.

Walaupun trend fesyen berubah mengikut peredaran zaman, namun tenunan corak Muar tetap dikekalkan menerusi inovasi ya­ng dilakukan.

Contohnya, diletakkan motif-motif kecil di antara ragi atau kotak, antaranya bunga melur, bunga cengkih dan buah lada hitam.

Mini Galeri Seni pula mempamerkan pelbagai lukisan termasuk lukisan minyak dan arca yang dihasilkan oleh pe­ngkarya anak Johor.

Sementara itu, Galeri Khaled Nordin mengandungi bahan-bahan yang berkaitan dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang merupakan Menteri Besar Johor sekarang.

Bahan-bahan tersebut terma­suk buku yang ditulis beliau, teks ucapan dan dasar-dasar yang diperkenalkan seperti gagasan Johor Berkemajuan.

Justeru, jika anda ingin mengenali lebih dekat negeri ini, luangkan masa bersama-sama keluarga mengunjungi Kompleks Sultan Abu Bakar kerana inilah premis yang menghidangkan ‘galeri hidup’ dan pusat dokumentasi lengkap serta menarik.