Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT), Ezahar Abu Sairin berkata, kayuhan kali ini meru­pakan kemuncak kepada enam siri Fun Ride yang dianjurkan MDT dan Pejabat Daerah Tangkak serta beberapa jabatan kerajaan di daerah ini sebelum ini.

Katanya, program kali ini bertemakan Explore Tangkak mensasarkan 2,000 penyertaan termasuk daripada jabatan kerajaan dan swasta, kelab basikal dan pelajar sekolah serta ins­titusi pengajian tinggi.

“Program Fun Ride 7.0 @Explore Tangkak bertujuan menggalakkan masyarakat tempatan dan orang awam melakukan aktiviti sihat dan mendatangkan faedah kepada kesihatan diri menerusi aktiviti berbasikal.

“Ia bersempena dengan kempen ke arah hari tanpa kendera­an dan bebas asap kenderaan di samping meraikan pengiktirafan daerah Tangkak sebagai Bandar Lestari kategori Bandar Udara Bersih,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Mesyua­rat MDT, Tangkak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Tangkak, Abdul ‘Alim Abd Shukor dan Pengarah Kolej Komuniti Ledang (KKL), Mohd. Amin Ali.

Ezahar berkata, program ka­yu­han itu terbahagi kepada dua kategori laluan iaitu 84 kilo­meter (km) dan 30 km.

Katanya, peserta yang berminat boleh mendaftar secara percuma dengan menghubungi 012-2501035 (Razi) atau 012-7302339 (Ahmad).

“Peserta akan mendapat medal dan sijil penyertaan, ber­peluang menyertai cabu­tan bertuah dengan ke­seluruhan ha­diah bernilai RM10,000. “Pemenang akan menerima baucer berupa penginapan di resort Taman Negara Johor atau inap desa, menikmati makanan di restoran ikan baung dan patin, membeli barangan industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini,’’ ujarnya.