FLLSPG kali ke-22 di Bukit Layang-Layang, Taman Bandar dan Padang Perbandaran Pasir Gudang di Pasir Gudang, dekat sini, baru-baru ini, mencatat sejarahnya sendiri apabila lebih 550 peserta pelayang antarabangsa dari 40 negara mengambil bahagian.

Pasir Gudang sekali lagi menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara dari 22 hingga 26 Februari lalu. Mereka tidak melepaskan peluang menyaksikan acara tahunan yang mempunyai daya tarikan tersendiri dan penuh warna-warni.

Bagi penganjuran FLLSPG ka­li ini, seramai 1,054 peserta yang terdiri daripada peserta tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian bagi kese­mua kategori yang dipertan­dingkan.

Tiga negara baharu iaitu Sri Lanka, Estonia dan Ireland menyertai Jepun, Australia, Brunei, Indonesia, Singapura, Belgium, England dan Switzerland mengambil bahagian dalam festival tersebut.

Sepanjang lima hari festival itu berlangsung, dianggarkan seramai 300,000 pengunjung hadir bagi melihat secara lebih dekat layang-layang gergasi meng­hiasi ruang angkasa Pasir Gudang.

Acara tahunan itu dimeriahkan dengan penyertaan pelajar sekolah menengah yang turut berkesempatan mempamerkan kreativiti dan kepelbagaian reka bentuk la­yang-layang serta kemahiran bermain permainan tradisional itu.

Bertepatan dengan tema Per­kongsian Bersama Komuniti, FLLSPG ke-22 itu mengetengahkan satu kategori baharu iaitu Pertandingan Layang-layang Cip­taan Bebas Peringkat Komuniti Pasir Gudang khusus buat pe­nyertaan masyarakat setempat.

Festival tahunan anjuran Maj­lis Perbandaran Pasir Gudang dengan kerjasama Tou­rism Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Pela­yang Malaysia dan Persatuan Pela­yang Johor itu diserikan dengan pelbagai acara sampingan yang menarik bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Antara aktiviti menarik yang disajikan kepada pe­ngunjung adalah persembahan artis terkenal, pameran kereta berhias, bengkel wau dan layang-la­yang, pertandingan karaoke serta gerai jualan.

Bagi mengimbau detik perjalanan FLLSPG lebih dua dekad itu, sebuah buku berjudul Selayang 22 Tahun Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 1995-2017 dilancarkan pada kali ini.

Buku setebal 117 muka surat itu mencoretkan pelbagai saat dan kisah menarik dari awal penganjurannya pada 1995 hingga kini selain memaparkan perkembangan festival berke­naan sejak diperkenalkan.

Antara paparan menarik dalam cetakan buku itu ialah kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun bernama Ahmad Syakirin Ahmad Suhaimi yang diterbangkan layang-layang gergasi pada ketinggian 20 meter sewaktu mengunjungi festival berkenaan.