FKJ 2018 yang diadakan selama 11 hari itu menawarkan produk kraftangan tempatan dari seluruh negara antaranya pakaian, hiasan rumah, makanan dan produk seni.

Sepanjang 11 hari program itu, sebanyak 300 gerai yang menjual pelbagai produk kraf dibuka selain pelbagai aktiviti lain seperti Pameran Kraf Wari­san, Sajian Makanan Tradisio­nal, Pertandingan Jaguh Tempa 2.0, Cabutan Bertuah Mega dan i-Kraf.

Dianggarkan berjumlah kira-kira 100,000 pengunjung hadir sepanjang tempoh berkenaan bukan sahaja terdiri rakyat negara ini tetapi juga pengunjung luar.

Pengunjung sanggup beratur dan bersesak mahu mendapatkan barangan yang menarik minat mereka. Ini kerana FKJ 2018 menawarkan satu keunikan dan mempunyai keistimewaan sendiri.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata, festival itu berinspirasikan Kraf Rakyat yang ditonjolkan menerusi aktiviti seperti jualan, pameran, demonstrasi, persembahan kesenian, pertandingan serta pelbagai lagi.

“Turut disajikan projek Kraf Komunitiku membabitkan pro­duk kraftangan keluaran tempatan antaranya produk seramik dari Perak, anyaman (Sabah), tenun (Pahang), ukiran kayu (Terengganu) dan beg pihan (Sarawak),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian FKJ 2018 yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Ibrahim berkata, pihaknya menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM6 juta bagi penganjuran tersebut, peningkatan da­ripada kutipan RM5.78 juta yang berjaya dicatat dua tahun lalu.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, kerajaan akan mempergiatkan promosi jualan produk kraftangan tempatan bukan sahaja menerusi pelbagai program yang akan dijalankan dalam negara tetapi juga di pe­ringkat antarabangsa.

Pihaknya menyasarkan ju­alan produk kraftangan tempatan sebanyak RM500 juta pada 2019.

“Kita akan kembali menyertai pelbagai expo pelancongan di peringkat antarabangsa, ia juga merupakan platform untuk memasarkan produk kraftangan tempatan antaranya di Berlin, Paris dan Hong Kong.

“Selain itu, bermula tahun 2019 juga, produk kraftangan tempatan yang terpilih akan dijual di pejabat pelancongan di 32 buah negara,” ujarnya.

Antara negara tersebut termasuk Australia, Jepun, China, Perancis dan Singapura.