Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, seramai 300 pempamer produk berasaskan halal dijangka menyertai festival yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pada 28 hingga 31 Mac ini.

“Justeru, saya berharap pelbagai jabatan dan agensi serta usahawan di negeri ini dapat merebut segala potensi dan peluang yang datang dalam melaksanakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai hab halal di Malaysia,” katanya di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian pada majlis pra pelancaran Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor 2019 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Sheikh Umar berkata, festival selama empat hari itu juga diharap dapat menjadi titik pertemuan bagi pengeluar produk halal antarabangsa serta pembekal perkhidmatan daripada pelbagai sektor baik dari dalam mahu pun luar negara.

Tambahnya, festival yang pertama kali dianjurkan kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) itu turut mendapat sokongan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan antaranya Majlis Agama Islam Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Perbadanan Islam Johor. - UTUSAN ONLINE