Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Felda mesti menjadi kawasan luar bandar yang strategik dan bermakna kepada negeri dan negara dari pelbagai aspek termasuk ekonomi.

“Walaupun Felda di bawah kerajaan Pusat, namun kerajaan negeri tidak akan mengambil sikap lepas tangan dalam usaha membantu menyelesaikan pelbagai isu yang melingkari warga dan pentadbiran Felda seperti isu hak milik tanah.

“Pentadbiran negeri amat memahami dan sedar bahawa tanah merupakan aset yang penting dan amat bernilai, selain sebagai satu warisan kepada generasi akan datang. Justeru, kerajaan negeri berusaha menyelesaikan isu hak milik yang dihadapi bukan sahaja peneroka Felda, malah permohonan lain,” katanya dalam

Majlis Penyerahan Hak Milik Felda Pemanis Dua kepada 430 peneroka di Dewan Semai Bakti, Felda tersebut hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat, ADUN Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim dan ADUN Buloh Kasap, Norshida Ibrahim.

Menteri Besar berkata, Johor merupakan negeri kedua yang mempunyai tanah rancangan Felda terbanyak, iaitu 73 yang terletak di 15 kawasan Parlimen dengan kapasiti serta keperluan peneroka adalah berbeza antara satu dengan yang lain.

Menurutnya, pembangunan tanah rancangan Felda tidak berlaku dengan sendirinya, sebaliknya hasil dasar dan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa prihatin dan memandang tinggi kepentingan pe­neroka Felda serta hasil kerajinan, komitmen serta kerja keras mereka selama ini.

“Bagi memastikan generasi Felda terus terbela, kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengambil alih dan menyelenggara 65 buah sekolah agama yang terdapat di tanah rancangan seluruh negeri ini, selain menyediakan dana sebanyak RM1.5 juta untuk Tabung Latihan Kemahiran Johor khas untuk anak-anak Felda.

“Saya harap warganya berbangga dengan Felda kerana tanah rancangan ini merupakan satu cerita kebangkitan sosial dan program membasmi kemiskinan yang sangat berjaya sejak sekian lama yang tidak terdapat di mana-mana di dunia ini,” katanya.