Timbalan Pengarah FAMA Johor, Mohd. Sharizan Mansor berkata, bagi tujuan itu, pihak­nya menyediakan beberapa ruang di pasar tani khusus untuk para penuntut terlibat berniaga sekali gus memberi pendedahan kepada mereka dalam bidang keusahawanan tentang realiti sebenar alam perniagaan.

“Seperti Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB), seramai 20 penuntut Diploma Keusahawanan terlibat dalam program keusahawanan Coaching and Mentoring PMJB di Pasar Tani Datin Halimah di sini dengan usahasama FAMA dan beberapa pihak industri lain.

”Program ini sudah berjalan sejak 4 Ogos lalu dan akan ber­akhir pada 1 September ini. Sekiranya PMJB mahu meneruskan program ini pada masa depan, FAMA bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya, begitu juga dengan IPT awam dan swasta lain,” katanya dalam majlis penutup Karnival JOM PMJB di sini, semalam.

Majlis penutupan karnival yang diberi nama JOM iaitu singkatan bagi J untuk jualan, O ialah opportunity (peluang kerjaya) dan M (merdeka) itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Yang turut hadir ialah Pengarah Politeknik PMJB, Azirin Abdul Aziz.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Sharizan berkata, Johor mempunyai 65 pasar tani dan pihaknya akan membuka tiga lagi tapak baharu di daerah ini, Kota Tinggi dan Segamat sebelum ­akhir tahun ini.

Menurut beliau, pihaknya te­lah mengemukakan permohonan dan sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan lokasi tapak pasar tani baharu yang akan dibuka kelak.

Sementara itu, Sheikh Umar Bagharib yang menyambut baik penganjuran karnival tersebut berkata, kerajaan negeri akan meningkatkan lagi bidang keusahawanan termasuk menyediakan peruntukan sewajarnya dalam bajet kerajaan negeri akan datang.