Jeti kayu yang berusia 20 tahun itu merupakan nadi keluar masuk kepada kira-kira 50 nelayan pantai yang menjalankan aktiviti menjaring ikan dan udang di Serkat dan Tanjung Piai.

Menurut Pegawai Eksekutif Wilayah Selatan, Etiqa Insuran Takaful, Mohd. Yunos Mohd. So’od, jeti sepanjang 216 kaki akan dibina secara gotong-royong oleh penduduk tempatan dengan barangan dibekalkan pihak Etiqa.

Katanya, projek itu dijalankan dengan kerjasama Islamic Aids Malaysia (IAM) yang berperanan sebagai pengantara antara individu mahupun golongan bagi menjalankan usaha dan program kemanusiaan.

Jelas beliau, jeti tersebut yang uzur tidak selamat digunakan namun nelayan tiada pilihan selain menggunakannya walaupun berdepan risiko kemalangan sebagainya.

“Keadaan semakin membimbangkan apabila air pasang, jeti tersebut akan tenggelam kerana kedudukannya yang rendah dan berhampiran sungai,” katanya ditemui dalam majlis meletak batu asas pembinaan jambatan tersebut di Kampung Sungai Chengkih semalam.

Yang turut hadir, Presiden IAM, Zawahir Abdullah, Naib Presiden Divisyen Teknologi Maklumat Eti­qa, Syed Yahya Syed Mohamad dan Ketua Pakatan Nelayan Su­ngai Chengkih, Ismail Johar.

Tambah Mohd. Yunos, pemulihan jeti itu dibuat menggantikan kayu yang reput kepada bahan lebih baik dan tahan hujan panas serta air pasang supaya tahan lama.

“Akan dibina juga sebuah pondok atau wakaf bagi nelayan berehat serta kayu-kayu pancang baharu bagi memudahkan sampan dan bot nelayan untuk berlabuh,” ujar beliau.

Katanya, projek baik pulih jambatan itu dijangka siap pada awal September depan dan akan memberikan semangat baru kepada nelayan turun ke laut de­ngan adanya kemudahan tersebut.

Sementara itu, Ismail, 57, mera­kamkan ucapan terima kasih kepada Etiqa dan IAM kera­na prihatin dengan kehidupan golongan nelayan di kampung berkenaan.

Katanya, projek baik pulih itu sudah lama dinantikan ahli-ahlinya memandangkannya merupakan keperluan asas yang penting kepada nelayan mencari sesuap nasi untuk keluarga.

“Selain jalan dan kemudahan asas lain, jeti nelayan juga satu keperluan utama kerana merupakan laluan turun ke laut yang tidak tentu masa, kadang-kala siang atau malam.

“Jika ada jeti yang kukuh dan selamat, mereka (nelayan) tidak bimbang termasuk untuk membawa hasil tangkapan ke darat dengan kadar yang segera,” katanya.