Menjelang Hari Raya Aidilfitri lalu, keluarga Abd. Rahman Atan yang kini menumpang di rumah jiran menerima sumbangan Pasaraya Econsave berupa barang elektrik bernilai RM1,000.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengurus Wilayah Selatan Econsave Sdn. Bhd., Mas Imran Adam kepadanya baru-baru ini bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Yang turut hadir Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Rosman Tahir.

Abd. Rahman bersyukur dan berterima kasih dengan sumba­ngan tersebut yang dilihat dapat membantunya dalam keadaan berdepan kesukaran hidup ketika ini.

“Kami berterima kasih dengan sumbangan barangan elektrik diberikan Econsave kerana peralatan seperti periuk masak dan sebagainya musnah dalam kebakaran sebelum ini,” katanya.

Kebakaran pada 6 Jun lalu menyebabkan Abd. Rahman, isteri, Norshahida Mohamed, 43 dan empat anak mereka iaitu Fasihah Insyirah, 19, Mohd. Syafiq, 17, Fa­rishah Izatul 13 dan Fatin Hidayah, 5, tinggal sehelai pinggang.

Mohd. Syafiq yang merupakan orang kurang kelainan upaya (OKU) bisu dan pekak adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) hujung tahun ini.

Dia berharap Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dr. Md. Farid Md. Rafik dapat membantu keluarganya mendapatkan rumah baharu mela­lui jabatan dan agensi berkaitan seperti Baitumal.

Sebagai pekerja biasa di Kukup Golf Resort (KGR) di sini, gaji bulanannya hanya cukup menampung perbelanjaan seharian empat anaknya yang masih bersekolah rendah dan menengah.

“Saya berharap ada pihak yang tampil membantu keluarga kami bagi mendapatkan sebuah rumah baharu agar dapat kami sekeluarga memulakan penghidupan yang baru selepas ini,” katanya.