Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang me­lancarkan logo tersebut menyifatkan usaha pentadbiran daerah ini sebagai sesuatu yang positif.

“Usaha ini jelas menunjukkan bahawa pentadbiran di Segamat yakin terhadap kekuatan dan pelbagai keistimewaan yang terdapat di sini, termasuk buah-buahan seperti durian mampu untuk dijadikan sebagai daya tarikan pelancongan.

“Mungkin dengan usaha ini Segamat mampu menjadi pengeluar durian utama dan terbaik di seluruh negara selain kekuatan produk eko dan agro pelancongan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Muafakat Sekijang dan Pelancaran Logo dan Tema Pelanco­ngan Segamat di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini semalam.

Mohamed Khaled turut mencada­ng­kan agar Segamat dijadikan sebagai lokasi pesta durian setiap tahun bagi merealisasikan hasrat menjadikan Segamat sebagai pengeluar durian utama negara.

Katanya, penganjuran pesta durian membolehkan penganjur menjemput negara-negara pengeluar durian seperti Thailand dan Indonesia untuk menyertai mempertandingan durian dan pada masa sama mempromosikan daerah ini sebagai pengeluar durian terbaik.

“Kerajaan negeri tidak keberatan membantu menjayakan pesta durian tersebut dan akan menjadikannya sebagai satu aktiviti pelancongan negeri ini yang mampu menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara.

“Setakat ini kerajaan negeri juga tidak mewajibkan setiap daerah mengeluarkan logo dan tema mereka sendiri dan sekiranya ada, ini akan menjadi satu nilai tambah yang boleh dijadikan kelainan,” katanya.