Mohd. Hafiz Mohd. Zin dan Mohd. Hafiz Mahyar, kedua-duanya berusia 29 tahun berganding bahu menanam Cili 461 Sakata, varieti dari Jepun yang semakin popular berbanding cili tempatan seperti cili Kulai.

Melalui bimbingan dan tunjuk ajar daripada Pejabat Pertanian Pontian, mereka mengusahakan tanaman cili sejak empat tahun lalu di atas tanah seluas 0.4 hektar di Kampung Api-Api, dekat sini.

Menurut Mohd. Hafiz, mereka menanam kira-kira 4,000 pokok cili yang boleh dituai hasilnya selepas tempoh dua bulan dan mampu bertahan hingga enam bulan sebelum ditanam semula.

Ini bermakna, mereka dapat menanam cili dua kali dalam setahun dengan setiap pokok dianggarkan secara purata mampu mengeluarkan hasil seba­nyak dua kilogram.

“Alhamdulillah kami telah berjaya menjalankan projek ini selama empat tahun dengan pelbagai cabaran, namun de­ngan bimbingan daripada pihak Jabatan Pertanian dapat usaha ini,” katanya semasa menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong ke la­dangnya di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, dua pegawai daripada Jabatan Pertanian Daerah Pontian, Azman Samin dan A. Rohim Sapari.

Mohd. Hafiz memberitahu, cili tersebut dijual di pasar awam Pontian serta pasaran yang lain, namun terpaksa bersaing de­ngan cili yang dibawa masuk dari Vietnam.

“Persaingan tersebut menyebabkan kami terpaksa menjualnya dengan harga lebih murah berbanding harga biasa iaitu antara RM7 hingga RM8 sekilogram kepada peniaga,” katanya.

Sementara itu, Siew Kiong meminta penanam cili di daerah ini dapat menubuhkan koperasi bagi membantu memasarkan hasil mereka termasuk dipasarkan di pasar raya dalam kuantiti yang banyak dan berterusan.

Beliau mengakui selain kos penanaman yang semakin meningkatkan, aspek pemasaran juga antara cabaran yang perlu ditempuh dan memerlukan sokongan daripada semua pihak.

“Saya akan membawa perkara ini kepada pihak berkenaan supaya minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh golongan muda ini mendapat perhatian, terutamanya masalah yang mereka dihadapi,” katanya.