Lebih-lebih lagi pakej yang ditawarkan bersifat pendidikan, sekali gus dapat menarik warga pendidik dan pelajar bagi mengenali lebih dekat tinggalan sejarah di kawasan tersebut.

Seorang pengunjung yang menyertai program DTTK, Muhammad Shah Saron, 42, mengakui, seronok dan bangga kerana terpilih dapat menyertai program ber­kenaan kerana boleh menambah ilmu mengenai pelbagai produk pelancongan, khususnya tinggalan sejarah di kawasan tersebut.

“Sebagai anak tempatan, saya berbangga perancangan produk pelancongan anjuran Kejora ini berjaya direalisasikan. Pencapaian ini secara tidak langsung mampu menjadi salah satu daripada sumber pendapatan kepada rakyat.

“Pada masa sama, pro­duk pelancongan ini lain daripada yang lain kerana pelancong dapat menikmati pengalaman berharga yang unik dan mempunyai nilai estetika tinggi,” katanya yang tinggal di Bandar Penawar, di sini.

Rakannya, Zulkarnain Arba'ain, 44, berpendapat, program DTTK amat sesuai untuk semua peringkat umur dan perlu diteruskan khususnya melibatkan golongan pelajar.

“Banyak perkara dapat dipelajari selain mempunyai banyak lokasi yang mampu menjadi tarikan kepada orang ramai yang gemarkan pelbagai aktiviti sama ada lasak, ketenangan, cabaran serta keindahan," katanya.