Nyata usaha gigihnya selama ini berbaloi kerana bukan sahaja mendapat keputusan yang baik, malah dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor pada Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) ke-21, semalam.

Apabila diterima melanjutkan pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk) di KPYPJ tiga tahun lalu, anak ketiga daripada empat beradik ini bertekad untuk memberikan yang terbaik supaya tidak mengecewakan harapan Allahyarham bapanya, Roslan Rosman dan ibu, Khamsiah Amran.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 12, Subang Jaya ini mengakui tiada apa-apa resepi dalam mencapai kejayaan melainkan memberi sepenuh tumpuan semasa kuliah, rajin bertanya dan membuat ulang kaji pada waktu malam.

“Saya amat menjaga disiplin ketika mengikuti pengajian, berpegang kepada tuntutan agama bahawa berkongsi ilmu merupakan satu amalan mulia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Turut hadir meraikan kejayaan Nur Amrina termasuk neneknya, Basriah Zainuddin serta tiga adiknya, Muhammad Akmal Roslan, Muhammad Amirr dan Mohammad Ariff.

Sepanjang pengajiannya di KPYPJ, Nur Amrina mem­peroleh Purata Nilai Gred (GPA) 3.7 pada semester pertama dan meningkat menjadi 3.83 pada semester kedua.

Kecemerlangannya berterusan pada semester ketiga apabila berjaya meraih GPA maksimum 4.0, diikuti 3.95 (semester keempat) dan 3.85 (semester kelima) serta 4.0 pada semester akhir.

Pencapaian itu telah membolehkan beliau meraih Anugerah Dekan bagi setiap semester pengajiannya serta Anugerah Ketua Eksekutif atas kejayaan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) keseluruhan 3.90.

Beliau menerima sebuah pi­ngat emas, cek bernilai RM2,000 berserta piala pusingan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Mohd. Khuzzan Abu Bakar.

Seramai 1,247 graduan Kolej YPJ berjaya menamatkan pengajian dan menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis berkenaan.