Maslina Yusof, 42, berkata, kakinya dipotong selepas 11 bulan melahirkan anak bongsunya, Mohd. Irfan Hanan Abdullah yang kini sudah berusia 12 tahun, selain terpaksa mengharapkan anak sulungnya, Mohd. Nazman Ramzan, 19, untuk menguruskan diri.

“Bagaimanapun, disebabkan ke­sempitan hidup selepas bercerai dengan suami pada tahun 2008, saya terpaksa menyerahkan ­Mo­h­d­.­ ­Irfan untuk dijaga oleh seorang rakan di Kampung Paya Lebar sejak umurnya enam tahun.

“Saya tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan termasuk kerja-kerja rumah kerana ada pe­nyakit lelah dan diabetes selain dimaklumkan oleh doktor bahawa jantung saya juga bermasalah,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Dia ditemui semasa penyampaian sumbangan barangan ke­perluan oleh Pengerusi Pusat Perkembangan Didik Istimewa Cekal, Doreen Bong Siew Chin di rumahnya, di sini.

Maslina yang berasal dari Kampung Tasek Alai di sini berkata, Mohd. Nazman turut menghidap penyakit diabetes dan terpaksa mengambil suntikan insulin sejak tahun lalu selepas didapati menghidapi penyakit itu semasa ber­umur 15 tahun.

“Mungkin penyakit ini penya­kit keturunan dan disebabkan itu keadaan saya yang memerlukan bantuan, Mohd Nazman tidak boleh bekerja tetap melainkan hanya bekerja sampingan.

“Sekarang, kami hanya me­ngambil upah tempahan membuat kuih ros daripada rakan-rakan dan tidak ada pendapatan tetap selain upah membuat kuih yang tidak seberapa ini,” katanya.

Mereka juga bergantung dengan bantuan bulanan sebanyak RM250 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun jumlah itu tidak mencukupi ke­rana terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM230 sebulan.

Akibat kesempitan wang, bayaran bil-bil utiliti dan sewa rumahnya turut tertunggak namun melahirkan rasa terharu atas sumbangan yang mampu meringankan beban keluarganya pada sepanjang Ramadan ini.

Sementara itu, Doreen memberitahu, pihaknya mendapat ta­hu masalah keluarga tersebut selepas dimaklumkan oleh penduduk di kawasan berkenaan minggu lalu dan datang untuk melihat jenis bantuan yang mampu dihulurkan.

“Saya datang semula untuk menyerahkan barangan membuat kuih seperti tepung, gula dan minyak selain membantu menyelesaikan bil-bil utiliti dan sewa rumah yang tertunggak,” katanya.