Persidangan anjuran Angkatan Demokrasi Milenials Bersekutu (MUDA), sebuah gerakan anak muda yang bebas, aktif dan mahu tampil memainkan peranan dalam setiap agenda pembangunan masa depan Johor itu menghasilkan beberapa ketetapan.

Ketetapan itu dibuat dalam persidangan DMJ membabitkan 50 perwakilan dan antaranya DMJ memberikan ketetapan dalam usaha menolak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

DMJ dalam satu kenya­taan rasmi membantah sebarang usaha untuk meratifikasi ICERD dan demi kepentingan awam menggesa kerajaan untuk mengambil kira pandangan awam terutamanya orang Melayu dan bumiputera sebelum meratifikasi ICERD.

“Rujukan perlu dibuat kepada pakar-pakar Perlembagaan dan perundangan yang non-partisan dan objektif serta berwibawa berkenaan natijah dan kesan ICERD terhadap sistem perundangan Malaysia,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini, kerajaan memberi jaminan tidak akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sekiranya ICERD diratifikasikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy memberikan jaminan itu dalam persidangan Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang mahu tahu pendirian kerajaan berhubung perkara itu.

Menurut DMJ, perkara itu perlu dirujuk kepada Majlis Raja-raja terlebih dahulu dan tanpa perkenannya, ICERD tidak boleh ditandatangani dan diratifikasi Malaysia.

“Ini kerana Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang perkara yang menyentuh kedudukan istimewa Mela­yu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Selain itu perkara itu perlu dibahaskan secara terbuka di Parlimen dengan penuh kejujuran tanpa berselindung tentang implikasi sebenar terhadap peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan jika Malaysia meratifikasi ICERD.

DMJ juga menggesa agar semua pihak menghormati Perlembangaan Malaysia dan Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh semua pihak.