Sebelum ini pasangan tersebut sentiasa berpindah-randah untuk mencari rezeki termasuk di Muar, Labis dan Kempas sebelum berpindah ke Tanjung Piai beberapa bulan lalu.

Siti Khosniyah mula dikesan menghidapi penyakit kanser pada tahun 2015 ketika bekerja di Johor Bahru dan telah mela­kukan pembedahan tulang belakang di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Saya tidak menyangka ke­sejukan kaki dan diikuti sakit berpanjang menjadi gejala penyakit kanser ini,” katanya ketika ditemui di rumah ke­luarga tiri di Kampung Tanjung Piai, dekat sini baru-baru ini.

Sebelum itu, dia menerima kunjungan Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Dr. Mohd. Esa Ismail serta rombongannya.

Ketika menerima pelbagai rawatan termasuk kemoterapi, dia turut disahkan mengan­dung dan selamat melahirkan bayi lelaki yang dinamakan Mohd. Rizqi Ramadan pada bulan puasa lalu.

“Saya terima anugerah ini dengan rasa syukur kerana diberikan seorang cahaya mata walaupun sedang bertarung dengan penyakit kanser tulang belakang ini,” katanya sambil berdoa supaya penyakit yang dihidapi sembuh bagi me­masti­kan anaknya membesar dan mendapat kasih sayang mencukupi walaupun kehidupan mereka serba kekurangan.

Dalam pada itu, dia menga­kui pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan bagi rawatan ke HSA, mereka mencari sumber lain terutamanya kos pe­ngangkutan.

“Terima kasih kepada pelbagai pihak yang telah memberikan sumbangan termasuk kepada Mohd. Rizqi seperti lampin mahupun membantu menguruskan dengan jabatan kerajaan,” katanya.