Skim kawalan harga akan berlangsung selama 15 hari bermula 8 hingga 22 Jun ini menggariskan sebanyak 19 barangan yang tersenarai dibawah skim ini.

Pengarah PPDNKK negeri Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan.

Menurutnya, tanda harga berwarna merah jambu juga perlu dipamerkan oleh peniaga ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan yang lain.

“Sekiranya kita mendapati ada peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini seperti menjual barangan harga terkawal melebihi harga yang ditetapkan atau tidak mempamerkan tanda harga, kita tidak teragak-agak mengenakan kompaun maksimum.

“Mereka akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun RM50,000 bagi individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mela­kukan tinjauan ke atas peniaga di Pasar raya Midas Mart, Pandan di sini hari ini.

Khairul Anwar berkata, bagi syarikat pula, mereka boleh dike­nakan denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM­250,000 jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, pihak KPDNKK akan menugaskan 190 pegawai dan anggotanya di lokasi-lokasi menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah di seluruh negeri ini bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan.

Katanya, skim ini dilaksanakan supaya pengguna dapat memperolehi barangan keperluan di musim perayaan pada harga yang berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga melampau.