Kini, tiba giliran Rusia menjadi tuan rumah bagi temasya sukan terbesar yang memasuki edisi ke-21 penganjurannya itu.

Nasib tidak menyebelahi pasukan tuan rumah apabila tersingkir dalam pusingan suku akhir di tangan Croatia sekali gus mengikut jejak beberapa pasukan gergasi Piala Dunia seperti Brazil, Jerman, Sepanyol, Portugal dan Argentina.

Kempen Piala Dunia yang sudah memasuki pusingan separuh akhir menyaksikan empat pasukan berentap untuk me­rebut gelaran berprestij tersebut iaitu pasukan England, Croatia, Perancis dan Belgium.

Kemeriahan kejohanan bertaraf dunia ini dapat dirasai di negara ini apabila peminat bola sepak de­ngan bangga menggayakan jersi pasukan kegemaran masing-masing sepanjang kempen Piala Dunia berlangsung.

Bukan sahaja jersi asli yang menjadi kegilaan peminat, malah ramai juga yang mendapatkan jersi tiruan gred tinggi yang jauh lebih murah bagi menunjukkan sokongan padu mereka terhadap pasukan pilihan masing-masing.

Beberapa syarikat korporat turut mengambil kesempatan meningkatkan jualan mereka dengan mengadakan pertandi­ngan berkaitan kejohanan tersebut sekali gus memeriahkan suasana sambutan Piala Dunia yang kini hampir sampai kemuncak.

Hasrat kerajaan untuk mendapatkan mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia bagi dipertontonkan kepada rakyat secara percuma menerusi saluran TV1 dan TV2 disambut baik dalam kala­ngan masyarakat luar bandar lebih-lebih lagi mereka yang tidak melanggan siaran stesen televisyen berbayar.

Lazimnya, restoran mamak menjadi pilihan peminat bola sepak tanpa mengira usia untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia di layar gergasi secara beramai-ramai tanpa mengira bangsa dan latar belakang.

Mana tidaknya, jika menonton di restoran mamak, mereka boleh bersorak dengan sekuat hati bersama-sama penonton yang lain, berbanding apabila menonton di rumah kerana perlu mengambil kira tentang etika hidup berjiran.

Persoalan tentang pasukan mana akan muncul juara Piala Dunia bakal terjawab pada Ahad ini.

Pastinya peminat bola sepak akan merindui aksi menarik kejohanan tersebut lebih-lebih lagi apabila melihat bintang-bintang yang dikagumi membuat penampilan terakhir di pentas tertinggi ini.

Yang pastinya, Piala Dunia 2018 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi dan peminat sukan nombor satu ini perlu menunggu dengan penuh sabar untuk edisi seterus­nya di Qatar pada 2022.