Temasya kali ini menyaksikan Perancis dinobat selaku juara apabila menundukkan Croatia dalam perlawanan akhir yang berkesudahan dengan keputusan 4-2. Kedua-dua pasukan itu mempunyai peminatnya sendiri di negeri ini.

Ini kali kedua negara pasukan mendapat jolokan Les Bleus menjuarai kejohanan tersebut selepas pertama kali mendakap Piala Dunia pada tahun 1998 selepas menewaskan Brazil 3-0 dalam perlawanan akhir.

Sebagai peminat bola sepak, khususnya bagi penggemar sukan berkenaan yang berada jauh dari negara yang menjadi tuan rumah temasya tersebut, apa yang dapat mereka lakukan adalah menonton pertandingan itu secara langsung.

Namun persoalan yang se­ring timbul biasanya di mana lokasi sesuai untuk menyaksikan kese­mua 64 perlawanan Piala Dunia 2018? Adakah cukup sekadar menyaksikannya di rumah sendiri atau lebih meriah sekiranya menyaksikan perlawanan demi perlawanan yang disajikan di kedai atau restoran bersama-sama ratusan malahan ribuan peminat sukan itu?

Apabila tiba musim atau demam bola, kita boleh lihat pelbagai ragam peminat bola sepak. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk menyambut dan meraikan kemeriahan Piala Dunia.

Tidak hairanlah Restoran E&Y (Sahul) di Taman Adda Heights di sini menjadi tumpuan orang ramai khususnya peminat dua gergasi bola sepak iaitu Perancis dan Croatia berhimpun beramai-ramai menyaksikan perlawanan akhir lebih meriah.

Ini kerana pihak pengurusan restoran selain membuka lebih banyak meja dan kerusi malah turut menyediakan layar gergasi selain beberapa televisyen yang sedia ada.

Sejak pukul 8.00 malam sebahagian peminat sudah mula berkunjung ke Restoran E&Y (Sahul) untuk menyaksikan perlawanan akhir pertemuan antara Perancis dan Croatia. Ketika menjelang sepak mula, restoran tersebut dipenuhi ramai peminat sama ada memakai jersi Perancis atau Croa­tia.

Suasana hingar bi­ngar pekik sorak peminat kedua-dua pasukan memeriahkan suasana di restoran tersebut apa lagi melihat celoteh pengacara yang membuatkan ramai di antara mereka ketawa dan tersenyum puas.

Di samping itu, pemilik Restoran E&Y (Sahul) turut menyediakan acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan elektrik untuk dimenangi oleh pelanggan yang berada di restoran tersebut.

Bagi kaki bola khsusunya Piala Dunia, rata-rata daripada mereka lebih gemar menyaksikan siaran langsung ke semua 64 perlawanan itu di restoran tersebut kerana dapat merasai suasana yang lebih meriah berban­ding jika menontonnya di rumah.

Apa yang lebih penting, mereka dapat melepaskan geram sama ada menjerit atau bertepuk tangan jika pasukan pilihan mereka dapat menjaringkan gol atau menang sesuatu perlawanan tersebut.

Bagi seorang peminat bola sepak Piala Dunia, Mohd. Khalid Baharuddin, 39, berkata, dia lebih kerap menonton perlawanan Piala Dunia 2018 di rumah bersama-sama keluarga, namun untuk perlawanan akhir memilih untuk menontonnya di luar.

“Saya pilih untuk menyaksikan perlawanan antara Perancis dan Croatia ini bersama-sama peminat bola sepak lain kerana ini perlawanan akhir dalam kejohanan Piala Dunia 2018.

“Pasti yang menarik minat orang ramai menyaksikan perlawanan bola sepak di luar adalah kerana suasananya meriah, ini berbeza dengan hanya me­nyaksikannya di rumah,” kata­nya yang berasal dari Kota Tinggi ketika ditemui malam semalam.

Seorang lagi peminat, Khai­rul Fauzi Marzuki, 43, turut berkongsi pendapat sama iaitu memilih menonton perlawanan bola sepak di luar kerana persekitarannya 'hidup'.

“Saya pilih menyaksikan pertandingan akhir di Restoran E&Y (Sahul) di Taman Adda Heights kerana pihak restoran menyediakan banyak pertan­dingan sampingan dan cabutan bertuah.

“Siapa tahu jika ada rezeki boleh menang sebarang hadiah,” katanya yang hadir ke sana de­ngan rakan-rakannya,” ujarnya.