Noreen Aqsha Ghafoor Abdullah, 30, yang juga merupakan seorang guru Bahasa Ing­geris berkata, idea mengadakan kelas dekorasi itu terhasil secara tidak sengaja atas minatnya memasak dan melibatkan dua anaknya dalam aktiviti tersebut.

Pada mulanya dia hanya membuat dekorasi kek cawan bersama anak-anak sebelum memuat naik beberapa keping gambar berkenaan aktiviti itu dalam laman sosial.

“Bermula dari situ, ramai kenalan Facebook saya memberi komen dan bertanya adakah saya mahu mengadakan program seperti itu lagi kerana mereka berminat untuk terlibat sama.

“Melihatkan terdapat permintaan menggalakkan daripada orang ramai, saya membuat program pertama Dapur Noreen pada Disember tahun lalu.

“Saya awalnya mahu mengehadkan aktiviti ini kepada 10 orang sahaja, namun permintaan menggalakkan jadi bilangan itu meningkat kepada 20 orang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di Taman Bukit Rinting di sini hari ini.

Menerusi program Dapur Noreen itu, kanak-kanak yang terlibat akan dapat melakukan dekorasi terhadap kek cawan mengikut kreativiti mereka sendiri, di mana perkara itu secara tidak langsung merangsang perkembangan minda mereka.

Menurut Noreen lagi, aktiviti tersebut tidak hanya fokus kepada dekorasi kek cawan semata-mata, tetapi ibu bapa dapat meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak mereka.

“Antara sebab mengapa saya setuju mengadakan program ini adalah kerana saya dapat membantu golongan ibu bapa untuk bonding iaitu meluangkan masa berkualiti bersama anak mereka.

“Ini kerana saya faham ibu bapa sekarang sibuk dengan urusan kerja, jadi adalah amat penting untuk menggunakan masa terluang dengan sebaik_nya bagi mengeratkan hubungan antara ahli keluarga,” katanya.

Disebabkan itu ujarnya, setiap kanak-kanak yang menyertai programnya perlu ditemani ibu atau bapa bagi membolehkan mereka melihat sendiri keterujaan pada wajah anak-anak dan pastinya itu merupakan pengalaman yang amat berharga.

Tambah Noreen, walaupun perlu mengehadkan program itu kerana kekangan masa, tetapi dia tetap akan mencari waktu terluang bagi merealisasikan minatnya pada masa hadapan.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kelas dekorasi kek cawan kendalian Noreen boleh menghubunginya menerusi Facebook - Noreen Aqsha Ghafoor atau Instagram - noreenaqsha.