Annuar Musa

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi strategi itu, DAP tidak akan menyatakan minat untuk menjadi barisan hadapan memerintah kerajaan tersebut, sebaliknya hanya berminat menguasai kerajaan yang dibentuk menerusi kerjasama dengan parti politik lain.

Beliau berkata, DAP telah bertindak memecah-belahkan parti politik lain yang bekerjasama dengan mereka sekiranya ada pihak dalam parti itu menjadi penghalang kepada perjuangan mereka dan ini jelas terbukti apabila ada anggota Pas bertindak keluar menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Di Selangor (PKR dan Pas) tak boleh buat apa-apa walaupun ada undi Pas, PKR untuk bentuk kerajaan. Di Perak Nizar (Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin) jadi Menteri Besar dikuasai DAP, ini jelas DAP dalam kerajaan itu tidak memerintah mereka hanya mahu menguasainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Jelajah Bicara Dialog dan Sesi Dialog Perjuangan For All, Parlimen Bakri di Dewan Komuniti UMNO Bahagian Bakri di sini.

Annuar berkata, lebih menyedihkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah dipergunakan dalam strategi DAP untuk ‘menghalalkan’ perjuangan mereka terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

“Saya sendiri sedih, ini berlaku kerana 23 tahun saya berhempas pulas mempertahankan beliau (Dr. Mahathir) tetapi kerana kepentingan peribadi, sekarang beliau bersama Lim Kit Siang.

“Ini hanyalah sandiwara DAP, mereka laksana pecah dan perintah kepada orang Melayu. Kit Siang sendiri pernah akui pendekatan mereka berbeza untuk sesuaikan dengan keadaan semasa tetapi dasar perjuangan apa yang mereka mahu capai tidak berubah sejak dahulu,” katanya.

Annuar bagaimanapun berkata, apa yang dilakukan DAP dan parti di bawah pakatannya atau Dr. Mahathir tidak memberi kesan besar kepada UMNO kerana tiada satu pun bahagian parti berkenaan ditutup akibat anggotanya keluar parti. - BERNAMA