Tarikan pelancongannya bukan sahaja pusat beli-belah dan taman tema bertaraf antarabangsa malah produk berasaskan eko-sistem alam semula jadi sesuai dengan pengunjung yang gemarkan alam sekitar.

Jika itu menarik minat anda, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Wetlands Belukar Durian, Tanjung Sedili di sini untuk menikmati pengalaman percutian unik, berbeza dengan pengalaman percutian yang ditawarkan di kawasan bandar.

Terletak kira-kira 1 jam 30 minit perjalanan dari bandar raya Johor Bahru, pengunjung akan dibawa meneroka satu kawasan yang dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau, nipah dan rasau.

Pengunjung pastinya terpegun dengan kecantikan persekitaran yang menyaksikan kese­mua chalet di Wetlands itu dikelilingi Sungai Sedili serta sesuai untuk pemancing menghabiskan masa lapang mereka.

Menurut Ahli Lembaga Koperasi Kampung Belukar Durian Bhd., Wan Zaili Wan Taha, 60, iaitu pihak yang menguruskan Wetlands berkenaan, lokasi tersebut sememangnya popular sebagai destinasi tumpuan kaki pancing, bukan sahaja dari dalam negara tetapi seluruh dunia.

“Pada masa ini, terdapat sembilan buah chalet dan sebuah asrama untuk disewa pengunjung, iaitu harga bagi sebuah chalet adalah RM100 dan RM150 semalam, manakala asrama yang mampu memuatkan seramai 40 orang berharga RM400 semalam.

“Selain memancing, banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan termasuk meredah hutan di kawasan paya bakau, menyusur sungai, berkayak, berbasikal, berkhemah serta melawat pusat penternakan belangkas, bengkel kraf tangan dan kilang keropok lekor,” katanya yang mesra de­ngan panggilan Pak Wan kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Selain itu, pihak Wetlands juga menyediakan perkhidmatan permainan tradisional mengikut permintaan pengunjung antaranya boling kelapa, teng teng, congkak, batu seremban, bermain guli, tarik upih dan melastik tin.

Sementara itu, seorang lagi ahli lembaga koperasi, Kamal Abdul Rahman, 53, memberitahu, Wetlands menerima kunju­ngan ramai pihak khususnya ketika musim cuti sekolah dan cuti umum seperti sambutan Tahun Baharu Cina yang lalu.

“Biasanya tempat ini penuh dengan pengunjung pada waktu cuti. Jadi, mereka yang berminat diharap dapat membuat tempahan awal kerana penginapan disediakan terhad.

“Kami juga sedang dalam perancangan menaik taraf kemudahan di kawasan ini termasuk pembukaan restoran makanan laut, kolam renang dan taman permainan untuk kanak-kanak,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, boleh hubungi talian 013-7026327 atau melayari laman Facebook Wetlands Belukar Durian.