Walaupun pernah bergelar wartawan selama 15 tahun sebelum ini, namun minat dalam bidang perniagaan tidak pernah padam dan kini dia tampil de­ngan jenama tersendiri, Rya Sophia Couture.

Anak jati Johor Bahru ini mula berniaga pada Februari lalu de­ngan menjadi vendor kepada bu­tik-butik sedia ada dan menjual pakaian lela­ki, wanita serta kanak-kanak.

“saya turut membuka gerai jualan di Plaza Pelangi dan AEON Mall di Bandar Dato’ Onn di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Zuraidah memberitahu, antara pakaian yang dijualnya adalah baju Melayu cekak musang de­ngan menggunakan jenama Raja, baju kurung English cotton yang diambil dari Vietnam, kebaya lace, blaus wanita, kurta serta jubah lelaki, shawl serta baju kanak-kanak.

Meskipun masih baharu, butik dan gerai jualannya mendapat sambutan yang amat meng­­galakkan, katanya sambil memberitahu dia turut membuat promosi baju Melayu cekak musang de­ngan hadiah percuma butang baju dan kain pelekat sebagai sam­ping.

“Perancangan saya dalam masa terdekat ini terutama selepas Hari Raya nanti mahu fokus untuk menghasilkan pakaian menggunakan jenama sendiri.

“Selain itu, saya juga ingin membuka sebuah butik di Plaza Pelangi serta menggunakan strategi pemasaran secara dalam talian,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini juga amat bertuah apabila minatnya itu turut mendapat soko­ngan suami, Mohd. Kamal Ahmad yang turut membantunya menyediakan modal perniagaan.