Menariknya Program Kembali Ke Sekolah Bersama Kanak-Kanak Orang Asli Kampung Simpang Arang itu juga menyaksikan penyertaan 50 sukarelawan bagi melancarkan aktiviti membeli-belah.

Sukarelawan berkenaan terdiri daripada pekerja di kawasan dibangunkan CGPV di Forest City, Phoenix Hotel dan Forest City Golf Hotel.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Aeron Munajat berkata, sukarelawan itu juga membantu kumpulan kanak-kanak ber­kenaan daripada keluarga kurang berkemampuan bagi memilih kelengkapan persekolahan yang sesuai.

“Kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu dibekalkan wang tunai RM300 bagi tujuan tersebut setiap seorang. Selain merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat, program tersebut juga bagi memberi keceriaan kepada murid terlibat.

“Objektif program ini adalah untuk membolehkan kanak-kanak itu memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih bersemangat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sejak 2015, Forest City yang merupakan antara syarikat pe­maju hartanah utama di Gelang Patah telah mengambil lima sekolah kebangsaan sebagai sekolah angkat.

Aeron berkata, kegembiraan jelas terpancar di raut wajah mereka memandangkan dapat memilih sendiri kelengkapan sekolah yang bakal digunakan pada sesi persekolahan tahun depan.

Sementara itu, seorang kanak-kanak, Mohd. Nur Iman Adam, 10, gembira kerana dapat memilih baju dan kelengkapan sekolah sendiri.

“Seronok, kerana dapat beli baju, beg dan kasut sekolah baharu,” katanya yang berhasrat untuk menjadi seorang anggota polis apabila dewasa kelak.

Seorang lagi kanak-kanak, Hairul Shamy Komeng, 11, pula memberitahu dia gembira kerana diberi peluang untuk berbelanja kelengkapan sekolah bersama rakan-rakannya.