Namun, kini permintaan ter­hadap cendawan bukan sahaja untuk sajian di gerai-gerai, malah menjadi menu kegemaran di restoran dan hotel.

Malah, kini cendawan turut menjadi salah satu produk agro pelancongan yang mampu memberikan pulangan lumayan kepada usahawan terlibat.

Menyedari potensi produk berkenaan, Azmi Buang, 52, nekad menjadikan tanaman cendawan sebagai produk pelancongan yang mampu menarik kehadiran pengunjung termasuk dari negara jiran, Singapura.

Kini, beliau mengusahakan tanaman cendawan bukan hanya untuk memenuhi keperluan tempatan, malah yang paling penting menjadi tarikan pelancong ke Kampung Sinaran Baru, Skudai dekat sini.

Mengusahakan tanaman cendawan kira-kira 30 tahun lalu, Azmi hanya bermodalkan RM2,000 untuk memulakan perusahaan tersebut bagi memenu­hi pasaran tempatan termasuk di pasar awam dan pasar tani.

Bapa kepada empat anak ini memberitahu, perusahaan tersebut terus berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada masyarakat setempat, malah warga Singapura yang kerap berkunjung ke kampung berkenaan.

“Cendawan segar kami goreng dengan tepung berempah dan dipadankan dengan sambal kicap.

“Dengan keluasan tanah 0.8 hektar yang dikelilingi keindahan semula jadi kampung, maka kami jadikan perusahaan cendawan sebagai nadi agro pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat tiga buah rumah cendawan yang mampu memuatkan 5,000 beg cendawan dan pelangkap bagi pakej ini adalah sebuah inap desa yang seni binanya berkonsepkan tradisional Melayu.

Ternyata langkah tersebut mewujudkan produk agro pelancongan yang digerakkan pada 2007 dan kini kian membuahkan hasil apabila sering menerima kunjungan daripada pelancong, khususnya dari Singapura.

Azmi selaku Pengurus Mushroom Bio-Tech berkata, menerusi Inap Desa Mushroom Bio-Tech, para pelancong akan dibawa melihat perusahaan dan merasai pengalaman memetik cendawan selain diperkenalkan dengan pelbagai tumbuhan lain seperti pokok kelapa, getah, pinang, rambutan, jambu, pulasan, nangka dan herba.

“Menerusi pakej agro pelancongan ini, kami menghidang­kan pelancong dengan menu wajib iaitu cendawan goreng bercicahkan sambal kicap, nasi lemak, kuih-muih, kopi dan teh o dengan bayaran RM8 seorang.

“Selepas itu, mereka turut dibawa menyertai beberapa aktivi­ti termasuk mewarnakan batik, menganyam ketupat, me­nyaksikan demonstrasi membuat bahulu cermai dan bermain ga­sing,” katanya sambil memberi­tahu ada pengunjung yang sudah beberapa kali berkunjung ke situ.

Beliau berkata, bagi keselesaan pelancong pihaknya menyediakan tiga unit balai kekal yang mampu menampung 400 orang dalam satu-satu masa.

Dibantu oleh isteri, Rozita Ahmad, 45, dan empat pekerja lain, Azmi berkata, pelancong dari Singapura lazimnya datang menaiki bas dalam jumlah yang ramai pada hujung minggu, cuti perayaan dan cuti sekolah.

Selain pelancong Singapura, pihaknya turut menerima kunjungan daripada warga Indonesia, China, Taiwan, Filipina, Korea, Jepun, Hong Kong, Thailand dan Kenya.

Pihaknya turut menerima kunjungan pelancong tempatan termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, universiti serta jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

“Kewujudan produk agro pelancongan ini bukan sahaja memberi pulangan lumayan kepada kami sekeluarga, malah peluang pekerjaan dan membolehkan penduduk setempat mengusahakan makanan ringan untuk dijual kepada pelancong.

“Saya berharap lebih ramai penduduk setempat mengambil peluang dan terlibat secara langsung dalam apa juga aktiviti bagi menambah pendapatan keluarga, di samping menaikkan imej Kampung Sinaran Baru sebagai destinasi agro pelancongan di negeri ini,” katanya.