Rohaini Mohd. Basri, 36, ber­kata, ketika kejadian hanya dia dan dua anaknya berusia lima dan tujuh tahun berada di rumah sementara suaminya Amran Abdullah, 46, tiada di rumah kerana ada urusan di luar dan seorang lagi anaknya berusia sembilan tahun bersekolah agama.

“Saya yang berasa takut hanya mampu melihat sahaja kira- kira 10 keping atap zink bahagian ruang tamu serta dapur rumah saya diterbangkan angin dan air mencurah masuk dalam rumah.

“Ketika itu saya panik dan membawa anak-anak saya berlindung di satu sudut di ruang tamu sambil berdoa agar hujan lebat dan angin kencang berhenti segera,” katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim dan pegawai Baitulmal, baru-baru ini.

Katanya, selepas hujan dan angin reda dia mendapati banyak perkakas rumah musnah akibat basah selain juadah untuk berbuka puasa yang sedang disiapkan turut rosak dan berhabuk.

Dia terkejut dengan kejadian itu dan terfikir untuk menghubungi suaminya yang pulang kira-kira satu jam kemudian untuk memaklumkan kejadian tersebut yang pertama kali berlaku sejak hampir 15 tahun tinggal di rumah tersebut.

Sementara itu, Amran melahirkan rasa syukur kerana anak-anak serta isterinya tidak me­ngalami sebarang kecederaan dan menerima kejadian tersebut sebagai takdir.

Dia belum membuat tafsiran jumlah kerugian yang dialami kerana memberi tumpuan untuk membaiki kerosakan terlebih dahulu memandang­kan hujan sering turun pada sebelah petang sejak kebelakangan ini.

Mohd. Azahar pula meminta Amran memohon sebuah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) memandangkan rumah sedia ada sudah uzur dan banyak kayu yang sudah reput.

“Saya akan menyokong permohonannya nanti kerana melalui permerhatian saya, dia layak untuk mendapatkan rumah baharu bagi memberi keselesaan kepada keluarganya.

“Selain itu saya juga akan melihat keperluan lain mereka dan menyalurkan sebarang bantuan bagi memastikan ke­selesaan mereka sekeluarga,” katanya.