Jimmy Puah Wee Tse
JIMMY PUAH WEE TSE 

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) sudah membatalkan lesen abstraksi air mentah premis berkenaan.

“Kita akan mengenakan kompaun dengan nilai yang sewajarnya berdasarkan insiden ini dan kerajaan Johor tidak akan kompromi dengan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Semalam berlaku pencemaran ammonia dari pusat biokomposit bersebelahan Kilang Kelapa Sawit di Sedenak bermula pukul 7 pagi akibat dari bam takungannya pecah dan menyebabkan air mengandungi ammonia mengalir masuk ke Sungai Sayong.

Sungai Sayong merupakan satu anak sungai yang membekalkan air mentah ke Sungai Johor sebelum masuk ke Loji Rawatan Air (LRA) Sayong 1, LRA Sayong 2 dan beberapa LRA lain.

Berikutan itu pukul 6.30 petang semalam, kedua-dua LRA tersebut ditutup dan berhenti memproses air mentah untuk dijadikan air terawat akibat kandungan ammonia yang tinggi.

Wee Tse berkata, susulan itu pada pukul 5.30 pagi dan 11.30 pagi ini, LRA Semanggar dan LRA Sungai Johor tidak beroperasi disebabkan kandungan ammonia dalam air mentahnya juga tinggi.

Selain itu katanya, pukul 1.30 petang tadi LRA Tai Hong yang dioperasikan oleh syarikat Public Utilities Board (PUB) mula menghentikan kerja-kerja memproses air mentahnya.

“Setakat kini kawasan yang terjejas adalah di daerah Kulai. Dijangka 17,000 akaun Ranhill SAJ mengalami gangguan bekalan air dan dijadualkan pemulihan sepenuh bekalan air menjelang pukul 10 malam ini,” katanya.

Kawasan terjejas antaranya Taman Cantik, Taman Mas, Kelapa Sawit, Taman Mutiara, Perindustrian Kulai, Taman Kulai Jaya, Kantin Sekolah Kebangsaan Melayu Kulai, Jalan Shahbandar Kulai, Kampung Rahmat, Taman Timur Kulaijaya, Taman Perindustrian Senai, Kampung Baru Silong Senai. - UTUSAN ONLINE