Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pemba­ngunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata, kerajaan negeri sedia membantu mereka dengan memberikan khidmat nasihat selain bantuan geran.

“Bantuan dalam bentuk geran berjumlah RM20,000 hingga RM100,000 yang disediakan an­taranya adalah untuk pembinaan bangunan, infrastruktur, papan tanda dan promosi.

“Apabila mereka menceburi bidang agro pelancongan, mereka akan mendapat tiga manfaat sekali gus. Pertama mereka dapat hasil pertanian, kedua pelancong hadir ke tempat mereka dan ketiga dapat dijadikan pusat latihan untuk dikongsi pengalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Transformasi Agro Pelancongan Taman Pertanian Johor (TPJ) di Kong-Kong, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang dan Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan) Jabatan Pertanian Negeri Johor, Azreen Basir.

Ismail berkata, ketika ini terdapat kira-kira 100 usahawan tani terdiri daripada petani, penternak dan nelayan yang terlibat dalam agro pelancongan di seluruh negeri.

Bagi memudahkan mendapatkan maklumat tentang tempat-tempat itu, pihaknya menerbitkan Direktori Agro Pelancongan Negeri Johor pada hujung tahun lalu sebagai rujukan kepada pelancong.

Buku itu katanya, memuatkan pelbagai informasi tentang tempat-tempat agro pelancongan mengikut daerah dan senarai para usahawan industri asas tani yang sudah pun mendapat persijilan halal dan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

“Buku ini memuatkan nilai-nilai agro pelancongan, masa lawatan, peta lokasi dan informasi hubungan supaya pengguna boleh membuat rujukan dengan lebih tepat dan mudah,” katanya.

Beliau berharap buku tersebut dapat mempromosikan projek-projek agro pelancongan di Johor dan pengisiannya akan ditambah baik dari semasa ke semasa.