Namun cakoi unik yang dipelbagaikan dengan lebih 20 jenis resipi dan perasa jarang didengari dan hanya terdapat di Bazar Ramadan Perling Mall di sini.

Cakoi di gerai jualan ‘Mr Sam You Char Kway’ itu bukanlah cakoi goreng atau cakoi berinti kacang merah yang banyak diperoleh di gerai-gerai biasa.

Ini merupakan cakoi istimewa yang dihias dengan keju, coklat dan pelbagai lagi bahan perasa menambah selera selain membuatkan ramai pengunjung tertarik dengan juadah itu.

Menurut penjual cakoi istimewa terbabit, Mohd. Shamsul Ariffin Fadil, 32, dan isteri, Ziana Zul, 30, idea menambah baik dan inovasi terhadap resipi cakoi goreng itu membuatkan gerai jualannya menjadi perhatian ramai pengunjung.

Ziana berkata, idea inovasi terhadap juadah cakoi goreng bermula ketika berniaga makanan itu di hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda di sini, bagi menarik perhatian pelajar untuk membelinya.

“Kami pun pelbagaikan menu cakoi iaitu coklat, floss ayam, coklat Oreo, keju dan banyak lagi selain rojak cakoi serta pau cakoi goreng untuk menarik minat pelajar sekolah,” katanya.