Berkonsepkan 'one stop center' bagi sukan lasak, ATV Park Johor menawarkan pelbagai aktiviti seperti All Terrain Vehicle (ATV), sumo, flying fox, combat archery, bubble ball soccer dan waterball.

Sebagai nilai tambah, lokasi aktiviti itu turut dikelilingi flora dan fauna serta hutan semula jadi yang pastinya akan membuatkan perasaan tenang dan damai selepas penat bekerja apabila sesekali ‘lari’ daripada ke­sibukan kota.

Pengurusnya, Farhan Shaikh Adnan, 36, berkata, ATV Park Johor sebelum ini beroperasi di ladang kelapa sawit di Seelong sebelum berpindah di kampus induk UTM pada April tahun lalu.

Menurutnya, pada permulaan ATV Park Johor hanya menyediakan aktiviti bagi sukan ATV, namun kemudiannya dipelbagaikan selepas mendapat permintaan daripada pelanggan.

“Bagi sukan ATV, mereka yang ingin mencuba atau baru hendak berjinak dengan sukan lasak ini boleh menunggangnya di jalan tar kerana lebih selamat.

“Namun, bagi yang sudah mahir, mereka boleh menggunakan laluan hutan yang lebih mencabar dan sukar. Tetapi bagi mereka yang tidak mahir dan ingin mencuba, kita akan beri latihan asas dan perjalanan mereka akan diiringi marshal berpengalaman,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bermula dengan hanya lima buah ATV, kini beliau mempunyai 22 ATV bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah khususnya pelancong dari Singapura.

Pelanggan juga boleh pergi ke Balai Cerap UTM yang terletak pada ketinggian 142 meter dari paras laut bagi menikmati pemandangan dari puncak ter­tinggi di Skudai itu.

Bagi yang menggemari keting­gian dan mungkin ingin menghilangkan gayat, bolehlah mencuba aktiviti flying fox dari ketinggian 12 meter dan sepanjang kira-kira 150 meter.

Tetapi jangan risau, enam petugas terlatih dan berpengalaman sentiasa memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan bagi setiap aktiviti yang dijalankan di ATV Park Johor.

Menurut Farhan, pelanggan yang menggemari aktiviti berkonsepkan permainan perang (war game), pastinya akan teruja dengan combat archery dan waterball.

“Permainan ini bukan sahaja digemari golongan dewasa, malah kanak-kanak juga boleh mencuba terutamanya waterball kerana tidak berbahaya.

“Pengunjung juga boleh mencuba bubble ball soccer kerana lebih mencabar memandangkan pemain perlu memakai gelembung bola pada badan mereka,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Farhan bercadang untuk menambah lagi aktiviti dan sukan lasak terbaru bagi menarik lebih ramai pelanggan dan pelancong ke ATV Park Johor.