Zulkarnain Atan, 48, berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Rokiah Attan, 52, serta tiga anak mereka berada di rumah selepas pulang dari Segamat.

“Sewaktu saya sampai ke rumah, hujan memang lebat berserta angin kencang dan ketika itu saya lihat bumbung rumah terangkat seperti mahu tercabut.

“Saya kemudian meminta isteri dan anak-anak supaya pergi ke rumah bawah kerana bimbang keselamatan mereka selain di rumah bawah itu strukturnya lebih kuat kerana dibina dengan batu,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Wang Bantuan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim di Balairaya Kampung Segamat Kecil, di sini hari ini.

Selepas itu, dia terdengar bunyi kuat sambil dapat melihat beberapa keping bumbung rumahnya diterbangkan angin dan kejadian tersebut menyebabkan mereka terpaksa tidur di rumah bawah malam tadi.

Seorang lagi mangsa, Zamri Abas, 40, berkata, kejadian ribut itu turut menyebabkan kira-kira 20 keping bumbung rumahnya diterbangkan angin selain tidak sempat menyelamatkan barang berharga miliknya.

“Bukan setakat ribut, malah kami turut dihujani dengan hujan air batu sebesar ibu jari dan ini merupakan kejadian pertama sejak saya tinggal di kampung ini lebih 30 tahun.

“Kejadian berlaku terlalu pantas, mujur ahli keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan dan saya terpaksa membaiki segera bumbung yang rosak kerana tidak ada rumah lain untuk didiami,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Azahar meminta semua mangsa membuat laporan polis dengan segera sebelum menyerahkan salinan laporan tersebut berserta gambar kerosakan rumah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya dapati mereka masih belum membuat laporan polis walaupun kejadian ini berlaku semalam dan saya telah arahkan mereka membuat laporan secara berkelompok hari ini bagi membolehkan menerima bantuan JKM.

"Saya juga akan membawa kejadian ini dalam Mesyuarat Tindakan Daerah, Rabu ini bagi melihat bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa-mangsa ini sama ada oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) atau jabatan kerajaan lain," katanya.