MOHAMED KHALED NORDIN

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, salah satu kekuatan negeri ini yang bukan sahaja dibanggakan oleh penduduknya, malah dika­gumi orang luar adalah sikap toleransi dan keupayaan dalam menguruskan kepelbagaian.

Beliau berkata, perbezaan agama, bangsa dan bahasa bukan menjadi pemisah bagi setiap penduduk di negeri ini untuk terus berinteraksi dan saling memahami antara satu sama lain.

“Atas dasar dan semangat inilah, kita sentiasa bersama-sama menghormati dan meraikan pelbagai perayaan yang ada di negara ini dan hari ini, kita bersama-sama menyaksikan kemeriahan sambutan Hari Wesak oleh semua penganut Buddha di Johor dan seluruh negara.

“Pada kesempatan seperti ini, marilah kita mengambil ruang untuk terus membuang segala unsur dan anasir yang boleh merenggangkan kita. Perpaduan yang terbina ini adalah hasil muafakat dan keupayaan untuk bertolak ansur, yang terbina atas rasa keinsanan dan ke­tinggian pekerti sesama manusia sejak sekian lama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Wesak, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyeru supaya rakyat tidak sesekali membiarkan sebarang tindakan yang emosional, melampau dan tidak bertanggungjawab menjadi pen­cetus pergeseran yang boleh merosakkan keharmonian kaum di negeri ini.

“Ini bukan budaya kita, ini bukan cara kita. Cara Johor adalah dengan memastikan kebebasan dan kerencaman budaya dan agama terus dipertahankan de­ngan sewajarnya.

“Jadi, saya secara peribadi dan mewakili seluruh jentera kerajaan negeri mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut Buddha di mana sahaja anda berada. Semoga hari ini membawa kemeriahan dan ke­gembiraan kepada semua rakan dan saudara kita di Johor yang menyambutnya,” katanya.