Justeru, Pengarah JBPM nege­ri yang baharu, Datuk Yahaya Madis meminta semua pegawai dan kakitangannya supaya sentiasa bersiap sedia setiap masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, JBPM negeri mempunyai 2,228 pegawai dan anggota melibatkan pegawai tetap, pegawai bantuan dan bomba sukarela.

“Bomba sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai jenis bencana termasuk persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh.

“Selain memastikan semua pegawai dan anggota dalam keadaan siap siaga, kami juga memastikan kesemua 63 bot penyelamat dan 148 kenderaan utiliti dalam keadaan baik,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis Tabik Hormat Pe­ngarah JBPM negeri yang baharu di Ibu pejabat JBPM negeri, di sini hari ini.

Katanya, setiap pegawai dan anggota bomba telah diberikan latihan dan kemahiran untuk melakukan kerja-kerja menyelamat sama ada yang khusus atau luar jangka.

“Contohnya persediaan menghadapi musim tengkujuh, antara bencana yang dijangka berlaku termasuk banjir dan tanah runtuh.

“Namun pada masa sama, setiap pegawai dan anggota perlu bersedia untuk berdepan dengan situasi yang di luar jangka,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan selain mengelakkan diri daripada terdedah terhadap situasi berbahaya.