Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melahirkan keyakinan itu berdasarkan sokongan padu rakyat sekali gus meneruskan mandat yang diberikan.

“Kita yakin dapat kekalkan dua pertiga kerusi DUN manakala bagi kerusi Parlimen, kita akan pastikan beberapa kerusi baharu akan dapat ditawan semula.

“Maknanya, daripada 20 ke­rusi Parlimen yang dimenangi sebelum ini, kita akan dapat tambah antara satu atau dua kerusi lain,” kata­nya selepas merasmikan Pusat Dialisis Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan melancarkan Skim Pinjaman Usahawan Tabung Wakaf Rakyat Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim; Ke­tua UMNO Bahagian Ayer Hitam merangkap Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Samsolbari Jamali dan Pengurus Besar PIJ, Zulkiflee Abbas.

Walau bagaimanapun, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar enggan mendedahkan kerusi Parlimen yang dijangka dapat dirampas semula oleh BN pada PRU-14 nanti.

Ditanya sama ada akan berlaku perubahan kerusi, beliau berkata, tiada banyak akan dilakukan pada pilihan raya umum kali ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga penyandang kerusi DUN Permas berkata, kerajaan ne­geri bercadang membina 56 buah Pusat Dialisis di setiap kawasan DUN yang akan dibangunkan dengan kerjasama PIJ dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Beliau berkata, perkara ini mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya kerajaan negeri masih diberikan mandat untuk memim­pin negeri ini.

“Kalau di luar, pesakit perlu bayar mahal, iaitu sebanyak RM240 bagi setiap sesi rawatan tetapi di Pusat Dialilis PIJ pesakit hanya perlu bayar RM180.

“Hingga hari ini kita sudah ada dua buah pusat dialisis iaitu di Taman Rinting, Pasir Gudang dan Ayer Hitam, Batu Pahat.

“Kita akan bina tiga buah lagi pusat dialisis ini, iaitu di Labis, Pagoh dan Kluang. Ini selari dengan manifesto yang kita telah lancarkan dengan memastikan setiap kawasan DUN mempunyai sebuah pusat rawatan dialisis sendiri,” ujarnya.